Wednesday 1 February 2012

Penguasaan iPad turun kepada 58%

Penguasaan pasaran iPad dilihat jatuh kepada 57.6% pada suku ke-4 2011 jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala Android meningkat kepada 39.1%.

Bagaimanapun Ketua Eksekutif Apple Inc, Tim Cook tidak risau dengan angka itu kerana pasaran tablet sememangnya sedang berkembang pesat dan data juga menunjukkan jumlah unit yang terjual meningkat daripada 7.3 juta kepada 15.4 juta dalam tempoh yang sama.


Namun iPad masih mendahului pasaran tablet ini walaupun jumlah unit Android yang terjual meningkat mendadak daripada 3.1 juta kepada 10.5 juta pada suku tersebut. Sementara Microsoft pula masih jauh ketinggalan dengan penguasaan pasaran setakat 1.5% sahaja, dengan jualan sebanyak 0.5 juta unit.

Hasil penyelidikan terbaru oleh firma Strategy Analytics itu mendapati kenaikan tiga kali ganda pasaran Android dibantu oleh tablet keluaran Samsung dan Amazon.

Android membuktikan ia mampu popular di kalangan pengilang tablet walaupun terdapat kebimbangan dan ketidaktentuan pada variasi sistem operasi Android, antaramuka dan ekosistem kedai aplikasi (app store).

Laporan itu juga menyatakan bahawa penghantaran tablet global meningkat kepada 66.9 juta unit pada tahun 2011, hampir empat kali ganda berbanding 18.6 juta yang dihantar pada tahun 2010. "Penghantaran" itu mewakili jumlah yang dijual oleh pengilang kepada peruncit dan tidak semestinya menggambarkan jumlah jualan runcit kepada pengguna.

- PUTERA.com

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More