Monday 29 October 2012

MOSTI gariskan inisiatif Digital Malaysia


Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Digital Malaysia sebagai program kebangsaan yang bermatlamat membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan berstatus maju.

Rentetan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah diberi mandat untuk merealisasikan projek tersebut secara menyeluruh dalam semua aspek ekonomi.

Melengkapkan usaha itu, baru-baru ini, Timbalan Menterinya, Datuk Fadillah Yusof telah mengumumkan beberapa inisiatif sebagai kunci utama pelaksanaan Digital Malaysia.

''Digital Malaysia merupakan sebuah program unik yang berasakan tiga teras strategik untuk mencetuskan ekosistem mempromosi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua aspek ekonomi.

''Menerusinya, ia dapat menghubung masyarakat global untuk membolehkan mereka berinteraksi dalam masa nyata serta meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (GNI), produktiviti dan seterusnya memperbaiki taraf kehidupan.

''Tiga teras ini akan digabungkan bersama inisiatif sedia ada secara efektif dalam memupuk ekosistem digital bersepadu,'' jelasnya pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara teras tersebut adalah untuk menukar hala tuju pembekalan kepada permintaan, penggunaan kepada produksi dan menambah pengetahuan rendah kepada yang tinggi.

Secara asasnya, terdapat lapan projek yang dikenalpasti akan dilaksana bermula tahun ini termasuk Hab e-Fulfilment Asia, perkhidmatan e-Payment bagi perniagaan kecil dan sederhana (IKS), perusahaan perkongsian awan, sumber mikro, e-Dagang, pembelajaran dalam talian dan Mobile Digital Wallet.

Dari sudut produktiviti, Digital Malaysia dijangka menyumbang sebanyak satu peratus kepada anggaran pertumbuhan keseluruhan IKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2020.

Bagi impak standard taraf hidup pula, program itu mampu menyumbang pendapatan sebanyak RM7,000 setiap tahun kepada 350,000 rakyat melalui perolehan digital.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali menyifatkan Digital Malaysia mampu membantu usahawan digital alaf baru memacu penggunaan automasi dan teknologi dalam meningkatkan produktiviti bisnes mereka.

''Hari ini, Malaysia menikmati asas ICT yang kukuh namun inisiatif digital menyeluruh masih perlu diambil bagi memastikan negara mampu bergerak maju ke hadapan.

''Melalui Digital Malaysia, ia akan menggalakkan inovasi di kalangan syarikat-syarikat domestik untuk diperluas ke peringkat global,'' jelasnya.

Di samping itu, anggaran pelaburan sebanyak RM31.2 bilion akan dapat dijana daripada Digital Malaysia selain menyediakan sebanyak 160,000 peluang pekerjaan.

Sebagai kemuncaknya, program Digital Malaysia berhasrat mampu meningkatkan sumbangan GNI sebanyak 17 peratus (RM294 billion) dan mendaki kedudukan 20 teratas dalam Economist Intelligence Unit Digital Economy Rankings.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20121022/me_03/Digital-Malaysia#ixzz2CV7DefpR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More