Tuesday 30 October 2012

Galaxy Note II untuk pengguna kreatif

Samsung baru-baru ini telah melancarkan model terbaru telefon pintar Galaxy Note II, yang menjanjikan  pengalaman yang unik dengan kandungan kreatif.

Galaxy Note yang dilancarkan pada tahun lalu telah membuka laluan kepada produk ini yang kini dipertingkatkan lagi dengan keupayaan untuk membantu pengguna mengasah kreativiti mereka untuk bekerja atau sewaktu berehat.

Peranti yang dianggap sebagai pengantara kepada telefon pintar dan tablet ini direka untuk membantu penggunanya berkreatif

Ia menggunakan paparan 5.5-inci HD Super AMOLED Plus yang menawarkan kecerahan skrin yang luar biasa. Dengan nisbah skrin lebar 16:9 paparan video akan jadi lebih menarik.

Saiznya yang nipis serta ringan memberikan kelebihan dan kemudahan kepada pengguna dalam tugasan mereka, lebih-lebih lagi dengan bantuan S Pen.

Dengan menggunakan S Pen, pengguna boleh menggabungkan tulisan tangan dengan kandungan digital terus pada skrin.

S Pen juga dilengkapi butang yang boleh digunakan untuk pelbagai tugas termasuk menyunting gambar, menambah warna, atau menulis nota.

Ciri-ciri Air View pula membolehkan S Pen diletak dipermukaan skrin tanpa perlu menyentuhnya untuk melihat e-mel, fail atau video

Dikuasakan dengan pemproses Quad-Core 1.6GHz dan HSPA Plus, peranti ini melancarkan lagi pelbagai tugasan pengguna serta pantas memulakan operasi.

Sistem operasi Android ™ 4.1 Jellybean pula akan menawarkan antaramuka grafik yang menarik.

Ciri-ciri AllShare Play membolehkan pengguna berkongsi kandungan dengan menyambungkan Galaxy Note II ini kepada peranti lain seperti televisyen Samsung HD, telefon, tablet dan komputer riba yang ada dalam rangkaian.

Pengguna yang suka berkongsi fail pula boleh menggunakan AllShare Group Cast untuk berkongsi pelbagai dokumen dan fail imej dalam masa nyata.

Samsung Galaxy Note II dipasarkan dengan pilihan warna putih dan kelabu.

- PUTERA.com

Monday 29 October 2012

MOSTI gariskan inisiatif Digital Malaysia


Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Digital Malaysia sebagai program kebangsaan yang bermatlamat membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan berstatus maju.

Rentetan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah diberi mandat untuk merealisasikan projek tersebut secara menyeluruh dalam semua aspek ekonomi.

Melengkapkan usaha itu, baru-baru ini, Timbalan Menterinya, Datuk Fadillah Yusof telah mengumumkan beberapa inisiatif sebagai kunci utama pelaksanaan Digital Malaysia.

''Digital Malaysia merupakan sebuah program unik yang berasakan tiga teras strategik untuk mencetuskan ekosistem mempromosi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua aspek ekonomi.

''Menerusinya, ia dapat menghubung masyarakat global untuk membolehkan mereka berinteraksi dalam masa nyata serta meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (GNI), produktiviti dan seterusnya memperbaiki taraf kehidupan.

''Tiga teras ini akan digabungkan bersama inisiatif sedia ada secara efektif dalam memupuk ekosistem digital bersepadu,'' jelasnya pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara teras tersebut adalah untuk menukar hala tuju pembekalan kepada permintaan, penggunaan kepada produksi dan menambah pengetahuan rendah kepada yang tinggi.

Secara asasnya, terdapat lapan projek yang dikenalpasti akan dilaksana bermula tahun ini termasuk Hab e-Fulfilment Asia, perkhidmatan e-Payment bagi perniagaan kecil dan sederhana (IKS), perusahaan perkongsian awan, sumber mikro, e-Dagang, pembelajaran dalam talian dan Mobile Digital Wallet.

Dari sudut produktiviti, Digital Malaysia dijangka menyumbang sebanyak satu peratus kepada anggaran pertumbuhan keseluruhan IKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2020.

Bagi impak standard taraf hidup pula, program itu mampu menyumbang pendapatan sebanyak RM7,000 setiap tahun kepada 350,000 rakyat melalui perolehan digital.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali menyifatkan Digital Malaysia mampu membantu usahawan digital alaf baru memacu penggunaan automasi dan teknologi dalam meningkatkan produktiviti bisnes mereka.

''Hari ini, Malaysia menikmati asas ICT yang kukuh namun inisiatif digital menyeluruh masih perlu diambil bagi memastikan negara mampu bergerak maju ke hadapan.

''Melalui Digital Malaysia, ia akan menggalakkan inovasi di kalangan syarikat-syarikat domestik untuk diperluas ke peringkat global,'' jelasnya.

Di samping itu, anggaran pelaburan sebanyak RM31.2 bilion akan dapat dijana daripada Digital Malaysia selain menyediakan sebanyak 160,000 peluang pekerjaan.

Sebagai kemuncaknya, program Digital Malaysia berhasrat mampu meningkatkan sumbangan GNI sebanyak 17 peratus (RM294 billion) dan mendaki kedudukan 20 teratas dalam Economist Intelligence Unit Digital Economy Rankings.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20121022/me_03/Digital-Malaysia#ixzz2CV7DefpR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More