Showing posts with label Apicta. Show all posts
Showing posts with label Apicta. Show all posts

Thursday 3 November 2011

Guru menang Anugerah Apicta Terbaik Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kaedah e-Pembelajaran menerusi blog bagi mendidik anak Orang Asli melayakkan seorang guru dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik MSC Malaysia (Apicta) Terbaik Perdana Menteri, tahun ini.

Penerimanya, Muhamad Hafiz Ismail, 25, merupakan seorang guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, Sungai Siput (Utara), Perak berjaya mengetepikan kira-kira 250 calon lain dalam kategori yang sama.

Anak kelahiran Kedah itu memenangi anugerah tersebut dengan blog www.apistakkisah.blogspot.com yang bertajuk Life Through My Eyes: A teacher's little steps towards perfection dengan menceritakan pengalaman tahun pertamanya di sekolah berkenaan.

"Saya ingin berkongsi pengalaman suka-duka bersama rakan yang lain dalam dunia pendidikan mengenai kaedah yang digunakan oleh saya untuk mendidik murid terutama anak Orang Asli supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.

"Blog ini juga merupakan satu bentuk jaringan untuk guru meluahkan dan berkongsi apa sahaja mengenai pengalaman mereka memandangkan di negara ini agak jarang adanya jaringan bagi menghubungkan warga pendidik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Muhamad Hafiz, kandungan dalam blognya itu turut telah dibukukan oleh penerbit Universiti USCI dan MPH.

Bagi Anugerah Projek Pelajar kategori Menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Foon Yew, Kulai, Johor manakala kategori Rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Dua Sungai, Mukah, Sarawak.

Sementara itu, Idottv Sendirian Berhad pula memenangi merit bagi Anugerah Teknologi Hijau Terbaik dengan memperkenalkan produk bil 'hijau' yang akan memasuki pasaran pada akhir tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrin Mohd. Noor berkata, fokus produk itu adalah bagi mengurangkan penggunaan kertas ke atas bil telefon bimbit oleh syarikat telekomunikasi.

"Dengan adanya bil hijau ini, pengguna boleh menyemak penggunaan alat komunikasi menerusi telefon atau online bagi mengurangkan pergantungan dan penggunaan kertas yang berlebihan.

"Kajian juga menunjukkan setiap tahun penggunaan kertas bil telefon mampu membentuk 222 Menara Berkembar Petronas (KLCC) dengan anggaran 10 juta pengguna," ujarnya.

Kesemua pemenang berjaya membawa pulang sebuah trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili yang turut dihadiri Pengerusi Multimedia Davelopment Corporation, Tan Sri Halim Ali.


View the original article here

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More