Saturday 25 February 2012

Dapur gas memasak jenama iPhone kena rampas


Para peminat iPhone dijangka kecewa kerana produk istimewa jenama iPhone ini tidak sempat sampai ke Malaysia kerana terlebih dahulu telah dirampas oleh pihak berkuasa di China.

Produk tersebut adalah dapur gas penunu tunggal jenama iphone yang telah dirampas oleh polis dari dua gudang di wilayah Wuhan, China.


Bahagian hadapan gapur gas berkenaan adalah berwarna hijau dan memaparkan logo Aple serta iphone, serta dipakej dalam kotak yang juga berwarna hijau.

Kesemua 681 unit dapur gas memasak yang dirampas didapati tidak dilengkapi sistem perlindungan pencegahan 'flame-out', tetapi mempunyai sijil pematuhan yang berlabel "Apple China Limited".



Dapur gas itu walau bagaimanapun dikhuatiri tidak boleh digunakan untuk membuat panggilan telefon serta hanya mempunyai satu aplikasi terbina dalam iaitu untuk memasak :P

Sumber: micgadget.com

Saturday 18 February 2012

Bagaimana membina Page dalam Facebook


Facebook memberikan kemudahan kepada setiap penggunanya untuk membina laman (page). Laman itu boleh digunakan untuk mengumpul peminat atau pengikut kepada individu, komuniti, syarikat mahupun produk.

Langkah 1

Untuk mula membina laman ini, anda hanya perlu klik pada pautan "Create a Page" yang terdapat pada bahagian paling bawah Facebook ataupun sebelah kanan atas dalam mana-mana laman orang lain.

Langkah 2



Setelah itu anda akan dipaparkan dengan pilihan untuk menentukan jenis laman yang hendak dibina sama ada jenis tempat dan perniagaan setempat (contohnya Gerai Ikan Bakar Morib); syarikat, organisasi atau institusi; jenama atau produk; artis, kumpulan artis atau tokoh-tokoh tertentu; hiburan; ataupun komuniti.

Pilih jenis yang sesuai dan klik pada ikon. Pada peringkat ini, anda tidak perlu terlalu risau untuk memilih jenis kerana untuk sesuatu perniagaan, ia mungkin boleh berada dalam lebih dari satu jenis laman.

Langkah 3




Kemudian tentukan kategori yang berkenaan atau hampir dengan laman yang anda hendak bina. Masukkan juga nama laman yang anda inginkan. Jika anda memilih jenis tempat atau perniagaan setempat, anda akan diminta untuk memasukkan nama dan alamat syarikat, dan jika memilih komuniti, anda tidak perlu memilih kategori, cukup dengan nama sahaja.

Akhir sekali tandakan (tick) pada "I agree to Facebook Pages Terms" dan klik butang "Get Started". Sekiranya anda berminat untuk membaca terma dan syarat terperinci mengenai laman Facebook, anda boleh klik dahulu pada pautan yang diberi.

Langkah 4



Seterusnya anda akan diminta untuk memuat naik gambar atau imej untuk dijadikan gambar profail laman anda. Di sini anda boleh gunakan gambar foto anda, logo perniagaan atau apa-apa imej yang sesuai dengan perniagaan yang anda jalankan.

Salah satu amalan yang terbaik ialah dengan menyediakan terlebih dahulu imej berkenaan di dalam komputer anda dengan menggunakan gabungan teks dan foto untu membentuk grafik yang menarik. Anda boleh tulis nama syarikat, jenama, slogan, nombor telefon dan sebagainya. Saiz yang baik untuk tujuan ini ialah 180px lebar dan 450px tinggi.

Layari Facebook dan cuba lihat pelbagai bentuk imej profail yang baik dan menarik untuk dijadikan panduan.
Imej ini boleh dimuat naik terus dari komputer anda ataupun diimport daripada URL lain.
Anda boleh langkau langkah ini jika ingin memasukkan imej tersebut di masa yang lain. Bila selesai klik "Continue".

Langkah 5


Selepas itu anda akan dipaparkan dengan pilihan untuk menjemput rakan-rakan anda untuk mengunjungi laman yang baru anda bina. Anda boleh jemput rakan-rakan yang ada di dalam Facebook mahupun yang belum. Sekiranya anda sudahpun mempunyai senarai pelanggan, gunakan butang "Import Contacts" untuk menjemput mereka sehingga 5,000 orang sekaligus.

Anda juga boleh langkau langkah ini jika perlu. Bila selesai klik "Continue".

Langkah 6




Akhir sekali, masukkan maklumat asas iaitu alamat laman web anda sekiranya anda, serta penerangan ringkas mengenai laman. Pastikan anda mengisinya dengan baik kerana ia akan membantu mempermudahkan bakal pelanggan menemui anda menerusi carian di Facebook dan juga Google.
Bila siap, klik "Continue".

Langkah 7



Nah, laman anda sudah siap! Jika anda ingin menyunting atau menambah maklumat berkaitan perniagaan, klik saya pada pautan "Edit Info" yang terletak di bawah tajuk. Manakala butang "Edit Page" di sebelah kanan akan membolehkan anda mengubah ketetapan lain seperti menentukan senarai pentadbir bagi laman ini (anda boleh lantik orang lain untuk tolong uruskan laman anda), menentukan had akses pengguna dan lain-lain.

Anda diberi pilihan sekali lagi untuk menjemput rakan-rakan atau mengimport senarai pelanggan yang sedia ada. Laman pemula ini juga akan membantu anda membuat kemaskini (post update) pertama anda, serta membantu anda untuk meletakkan kotak "like" di dalam laman web (jika ada) untuk menarik trafik pengunjung ke laman Facebook anda.

Anda juga boleh tetapkan nombor telefon mudah alih anda untuk memudahkan anda memuat naik gambar serta mengemaskini stasus melalui telefon.

Klik pada pautan "Wall" untuk melihat bagaimana rupanya laman anda jika dilihat oleh orang lain.
Di sebelah kiri laman, anda akan dapati ada nombor yang akan memaparkan jumlah pengguna yang telah like laman itu.

Apabila laman anda sudahpun mempunyai sekurang-kurangnya 30 orang like, anda akan diberi pautan "Insights" yang akan membolehkan anda memantau perkembangan laman anda dari aspek perkembangan jumlah pengikut pada setiap hari, jumlah pengguna yang "bercakap" mengenai laman anda serta tindak balas dari setiap tulisan yang anda poskan ke laman itu.

Jika anda melepasi tahap minimum 30 orang, anda juga akan diberi peluang untuk mencipta URL pintasan kepada laman anda iaitu dalam bentuk alamat www.facebook.com/nama-laman-anda.


Wednesday 15 February 2012

iPad 3 akan dilancar 7 Mac?


Khabar-khabar angin di Internet mengatakan Apple akan melancarkan iPad 3 pada 7 Mac nanti.
Hari tersebut adalah jatuh pada hari Rabu, iaitu hari yang sama Apple memperkenalkan iPad 2 pada tahun 2011, malah Apple juga melancarkan iPad pertamanya pada hari Rabu 27 Januari 2010.

Tarikh itu juga kena dengan ura-ura yang mengatakan Apple akan lancarkan tablet baru itu pada minggu pertama bulan Mac.

Pelancaran kedua-dua versi iPad sebelum ini dilakukan oleh mendiang Steve Jobs yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple pada ketika itu. Beliau meninggal dunia tahun lalu pada umur 56 tahun setelah lama bertarung nyawa dengan penyakit kanser pankreas yang dihidapinnya.

Jika Apple meneruskan tradisinya, maka CEO baru Apple, Tim Cook yang akan naik ke pentas pada tahun ini.

Bagaimanapun tidak ada siapa tahu tarikh sebenar pelancaran sehinggalah Apple menghantarkan jemputan kepada media, blogger dan firma penyelidikan.

Apple selalunya simpan rapi rahsia tentang tarikh pelancaran dan hanya mengumumkannya seminggu sebelum majlis sebenar. Jika mengandaikan 7 Mac adalah tarikh yang betul, Apple mungkin akan mengeluarkan jemputan berkenaan pada 29 Februari ataupun sekitar dua minggu dari sekarang.

Kebanyakan pakar percaya iPad 3 akan didatangkan dengan ciri-ciri skrin resolusi tinggi (Retina) dan pemproses yang lebih laju (mungkin pemproses quad-core pertama Apple), serta juga penambahan memori dalaman. Tablet itu juga mungkin akan dipasarkan dengan harga bermula dari US$499 (RM1,515) dan ke atas.

Mengikut ramalan oleh penganalis Wall Street, iPad 3 dijangka akan melonjakkan jualan tablet Apple kepada 11.3 juta untuk suku pertama, iaitu sehingga 140% daripada 4.7 juta unit yang syarikat itu jual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

- PuTeRA.com

Thursday 9 February 2012

20 tips meramaikan peminat page Facebook


Semakin hari semakin ramai pengguna Facebook membuat fan page masing-masing terutamanya mereka yang terlibat dengan dunia perniagaan. Jika awal-awal dulu hanya golongan artis dan selebriti yang menggunakan facebook untuk mengumpulkan para peminat mereka, tapi Facebook tahu, konsep fan page itu boleh dikembangkan kepada bidang yang lebih luas termasuk perniagaan.


Bagi artis, mereka menggunakan Facebook untuk berkumpul dan bersosial sesama peminat. Mereka menggunakan sebaiknya peluang yang ada dalam Facebook untuk akses kepada para peminat yang ramai dan mungkin mencecah jutaan itu (Lisa Surihani mungkin artis yang paling ramai peminat facebook dengan hampir 2 juta orang, berbanding Dato' Siti Nurhaliza  yang hanya sekitar 600,000).

Tetapi sebaliknya untuk perniagaan, kita bermula dengan seorang sahaja peminat, iaitu diri kita sendiri. Jadi
bagaimana nak memanfaatkan Facebook page ini jika tidak ada peminat?

Berikut adalah antara 20 tips yang boleh anda cuba untuk meramaikan lagi peminat page anda.

1. Lengkapkan profail

Isi dan lengkapkan profail page anda sepenuh-penuhnya dan jangan bazirkan walau sedikit. Tuliskan penerangan mengenai perniagaan anda dengan jelas, tidak perlu terlalu panjang tetapi jangan ringkas sangat, serta jangan lupa muatkan dengan kata kunci yang berkaitan dengan perniagaan anda. Profail yang lengkap bukan sahaja akan menunjukkan bahawa anda serius dan profesional tetapi juga meningkatkan peluang untuk diindekskan secara lebih baik di dalam enjin carian Facebook dan juga Google.

2. Luangkan masa

Untuk menjaga Facebook page, anda bukanlah perlu untuk bersengkang mata atau berada 24 jam sehari di depan komputer, tetapi sekurang-kurangnya sekali sehari untuk membuat posting baru serta menjawab sebarang persoalan yang ditimbulkan oleh peminat anda. Jika ada orang posting sesuatu, jawab dan layanlah dengan baik dan jangan biarkan begitu sahaja.

Anggaplah seperti orang itu datang dan bertanya sesuatu di dalam kedai anda, sanggupkah anda membiarkan dia kebingungan seorang diri? Atau akhirnya pergi membawa diri dengan hati yang hancur akibat kecewa tidak dilayan? Anda juga boleh membuat posting ringkas melalui handphone atau memuat naik foto tertentu melaluinya. Beberapa minit di sebelah pagi, beberapa minit di sebelah petang dan juga malam, mungkin memberikan tanggapan kepada peminat bahawa anda memang selalu online!

3. Lantik Admin

Jika page anda semakin sibuk atau anda sendiri sudah tidak cukup masa nak layan, lantiklah admin dari kalangan kakitangan atau rakan niaga yang boleh dipercayai supaya mereka boleh sama-sama menguruskan page tersebut.

4. Tawan hati peminat 

Gunakan ayat atau grafik "call to action" yang power untuk mendorong para pengguna untuk klik pada butang "Like" page anda.

5. Dapatkan URL khas

Apabila peminat anda sudah melebihi 30 orang, anda akan diberi kemudahan untuk memilih URL khas bagi page anda iaitu contohnya http://www.facebook.com/puteradotcom. Ini akan memberikan kelebihan dari segi penjenamaan dan imej yang lebih baik. URL ini adalah percuma, unik dan berdasarkan siapa cepat dia dapat, serta tidak boleh ditukar lagi selepas anda menetapkannya.

6. Gunakan URL khas

Apabila anda sudah ada URL khas anda sendiri untuk Facebook page, gunakanlah ia sebagai sebahagian daripada pengenalan diri anda. Masukkan URL tersebut bersama-sama dengan nombor telefon, emel dan laman web anda dalam mana-mana bahan promosi bercetak seperti flyers, banner, iklan dalam surat khabar, iklan online dan lain-lain.

7. Guna Facebook Ads

Ya, anda boleh percepatkan proses mencari peminat dengan mengiklankan page anda menggunakan kemudahan yang ada dalam Facebook sendiri, tetapi anda perlukan bajet yang cukup dan bersedia untuk guna kad kredit.

8. Kembangkan rangkaian

Facebook boleh bantu anda tolong jemput rakan-rakan anda jika anda mempunyai emel mereka walaupun mereka belum menjadi rakan Facebook anda. Sehingga 5,000 rakan boleh dijemput dalam satu-satu masa. Gunakan ciri-ciri Find Friends dan Import Contacts dalam page anda.

9. Kongsi cerita menarik

Cari dan kaji apa yang menarik minat pembaca untuk tahu tentang hal-hal yang ada kaitan dengan perniagaan anda. Ramai orang sudah muak dengan kaedah promosi biasa, atau mungkin mereka sudah jadi lali dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya. Mungkin lebih baik anda berkongsi tips-tips kesihatan sekiranya anda menjual produk makanan atau minuman.

Jangan masukkan ayat-ayat promosi dalam perkongsian seperti ini, sebaliknya hanya info berguna. Para peminat tentu lebih menghargainya.

10. Kongsi fakta berkaitan

Selain cerita, kongsi juga fakta-fakta yang menarik dan berkaitan dengan perniagaan anda. Contohnya jika anda di dalam perniagaan hartanah, anda boleh kongsi maklumat seperti Kadar Asas Penjiman yang dikeluarkan oleh Bank Negara, atau mungkin polisi-polisi baru yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Laporan-laporan ekonomi, polisi kerajaan dan kajian penyelidikan adalah sumber bagi fakta-fakta menarik yang boleh dikongsi.

11. Tawaran bermusim

Sekali-sekala atau pada waktu musim tertentu, buatlah tawaran khas contohnya potongan harga 50% sempena Maulidur Rasul, promosi balik kampung, sempena raya, sempena cuti apa-apa atau mungkin sempena kelahiran anak anda sendiri!

Fikirkan secara kreatif! Ada orang mengeluh jualan pakaian agak jatuh selepas musim raya, kenapa tidak buat promosi "jualan lepas raya"? Terowong SMART di tengah-tengah Kuala Lumpur mengenakan tol RM2 pada hari-hari biasa, tetapi pada musim balik kampung waktu raya, ia tetap membuat promosi diskaun 10% walaupun kita tahu kebanyakan kenderaan sudah keluar dari Kuala Lumpur dan jalan-jalan di ibu kota pun jadi lengang? Ia sebenarnya untuk menarik perhatian para pengguna yang tidak masuk ke terowong itu untuk mencubanya pada harga diskaun.

12. Akaun Twitter 

Pautkan akaun Twitter anda kepada Facebook supaya status dapat dikemaksini serentak di kedua-dua tempat serta membawa pelanggan berpotensi dari laman Twitter ke Facebook.

13. Guna media sosial yang lain

Selain Twitter, anda juga boleh guna media sosial lain untuk menghebahkan tentang aktiviti-aktiviti di page, antaranya ialah dengan menggunakan Linkedin, MySpace, Google+, Tagged, Orkut, Ning dan lain-lain. Ya, memang banyak lagi yang lain, Facebook bukan segala-segalanya tetapi segala-galanya adalah Facebook.

14. Laman Web

Jika anda ada blog atau laman web lain, letakkan Like Box page anda ke dalam laman tersebut supaya para pengunjung yang datang ke laman web anda tahu kewujudan page berkenaan dan klik Like.

15. Guna Facebook Insights

Insights adalah satu alat yang sangat berguna disediakan oleh Facebook untuk memantau perkembangan page. Insight akan memberikan data statistik harian mengenai berapa ramai pengguna yang Like page anda, jumlah orang yang berbincang mengenai page serta jumlah orang yang share posting yang anda buat. Ini akan memberikan anda idea yang jelas tentang bentuk dan minat orang ramai terhadap page berkenaan.

16. Jangan Spam

Jangan sesekali anda spam page Facebook anda sendiri, nanti orang cepat meluat. Bila anda membuat posting dalam page, jangan asyik hendak mengiklankan sesuatu, sebaliknya beri lebih tumpuan kepada perkongsian sesuatu yang berguna seperti tips, ilmu baru, cerita atau aktiviti perniagaan. Dalam 6 atau 7 posting seperti itu, barulah selitkan satu posting untuk mengajak orang membeli sesuatu produk. Itupun kena guna bahasa yang halus dan tidak terlalu memaksa. Pilih perkataan yang sesuai.

17. Guna Tab tambahan 

Anda boleh tambah Tab di dalam Facebook page untuk menyusun atau menstrukturkan kandungannya. Ia juga akan memudahkan pengguna mengakses maklumat atau kandungan yang telah anda kategorikan dengan lebih berkesan dan mudah. Jika anda hanya menggunakan Wall, posting anda yang lama-lama mungkin akan jauh ke bawah dan terbiar rugi sahaja. Mungkin sesetengah boleh anda post atau simpan di dalam Tab yang berlainan.


18. Sorokkan Wall page 

Seringkali orang akan datang ke page anda untuk lihat apa perniagaan anda. Anda sebenarnya boleh sorokkan dahulu page daripada mereka yang belum Like. Bila klik Like barulah isi kandungan yang sebenar dipaparkan, dengan cara itu pengguna akan secara paksa-rela mengklik butang Like. Semasa di landing page, nyatakan apa kebaikan atau kelebihan yang pengguna akan dapat sekiranya mereka Like page anda, contohnya "Ketahui 10 tips awet muda, klik Like sekarang!"

19. Masukkan video

Anda boleh gunakan video untuk menarik lebih ramai peminat mengklik Like. Hasilkan sebuah video, muat naik ke YouTube dan letak di landing page atau mana-mana page yang perlu. Banyak kelebihan sekiranya anda menggunakan video.

20. Guna Facebook Apps

Terdapat 1001 macam perkara lagi yang anda boleh buat dengan Facebook page anda dan semuanya bergantung kepada kreativiti dan keperluan anda. Terdapat pelbagai aplikasi yang dibangunkan oleh pihak ketiga (pembangun perisian bebas, bukan Facebook) untuk memberi kemudahan kepada pemilik page untuk mengembangkan lagi kepenggunaannya. Anda boleh masukkan sign-up form, shopping cart, dan banyak lagi. Ada yang berbayar dan ada yang percuma.

Selamat maju jaya dengan page Facebook anda!

- PUTERA.com

Monday 6 February 2012

FBI cari aplikasi intip pengguna media sosial


Federal Bureau of Investigation (FBI) Amerika Syarikat kini sedang mencari aplikasi pemantauan media sosial yang hendak digunakan bagi melindungi privasi para individu dan kumpulan yang dilindungi sebelum ia digunakan.

Pusat Maklumat dan Operasi Strategik FBI beberapa minggu lepas telah membuat iklan menerusi laman web FedBizOpps.gov (yang mirip ePerolehan di Malaysia) untuk mencari pihak-pihak atau syarikat yang mampu membangunkan aplikasi untuk menghidu sebarang ancaman yang wujud di seluruh dunia merentasi laman media dan rangkaian sosial.

Walaupun ia tidak dinyatakan, namun iklan itu menimbulkan spekulasi bahawa kerajaan AS ingin menggunakan kuasanya untuk mengintip para pengguna Facebook, Twitter dan media-media sosial popular yang lain yang disering dikunjungi oleh berjuta-juta manusia dari seluruh dunia.

Jurucakap FBI bagaimanapun memberitahu PCMag.com bahawa jika aplikasi itu dibangunkan dan digunakan oleh FBI, Unit Privasi dan Kebebasan Awam agensi itu akan memastikan mereka memenuhi semua keperluan privasi sebelum aplikasi itu dilaksanakan.

"Niat sebenar ialah untuk melihat data sosial yang tidak sulit dan terbuka kepada umum, yang sedia ada boleh akses di lapangan terbuka Internet. Aplikasi itu tidak akan fokus kepada individu atau kumpulan tertentu, tetapi kepada perkataan-perkataan yang berkaitan kepada 'kejadian' atau 'krisis', serta aktiviti yang melibatkan pelanggaran undang-undang jenayah persekutuan atau ancaman kepada keselamatan negara. Contohnya perkataan 'lockdown', 'bomb',  'suspicious package', 'white powder', 'active shoot', 'school lock down' dan lain-lain sejenisnya," kata Ejen Khas Ann Todd dari pejabat Perhubungan Awam FBI.

Todd juga menjelaskan paparan iklan dalam FedBizOpps.gov pada 19 Januari hanyalah bersifat request for information (RFI) sahaja. FBI "ingin menilai keupayaan industri IT untuk menyediakan sebuah aplikasi sumber terbuka dan media sosial" dan RFI itu diiklankan untuk tujuan penyelidikan pasaran dan perancangan sahaja dan tidak bermaksud untuk mendapatkan proposal. Tiada sebarang hantaran RFI yang akan diterima sebagai tawaran rasmi kontrak, katanya. Tinjauan ke laman web FedBizOpps.gov mendapati iklan itu telah dikemaskini pada 1 Feb 2012.

Dari satu perspektif, pembangunan aplikasi seperti itu bukanlah mustahil. Mungkin kerajaan Malaysia juga patut ada aplikasi seperti itu untuk memantau rakyat negara ini terutama yang terlalu celupar tangannya dan menulis pelbagai fitnah sana-sini dalam blog, Facebook, twitter dan lain-lain tanpa mengira perasaan orang lain dan keharmonian dalam masyarakat. Atau setidaknya boleh juga diguna untuk tengok siapa sokong atau bangkang kerajaan (lebih-lebih lagi pilihan raya sudah semakin hampir).

Jika difikirkan, untuk blog dan twitter selalunya semua orang boleh tengok dan baca, tetapi bagi Facebook selalunya sesuatu posting hanya dikongsi di kalangan rakan-rakan sahaja, jadi mungkin aplikasi itu perlu wujudkan profail-profail ciptaan untuk jadi pengintip pula! Hmmm...

- PUTERA.com

Wednesday 1 February 2012

Penguasaan iPad turun kepada 58%

Penguasaan pasaran iPad dilihat jatuh kepada 57.6% pada suku ke-4 2011 jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala Android meningkat kepada 39.1%.

Bagaimanapun Ketua Eksekutif Apple Inc, Tim Cook tidak risau dengan angka itu kerana pasaran tablet sememangnya sedang berkembang pesat dan data juga menunjukkan jumlah unit yang terjual meningkat daripada 7.3 juta kepada 15.4 juta dalam tempoh yang sama.

Namun iPad masih mendahului pasaran tablet ini walaupun jumlah unit Android yang terjual meningkat mendadak daripada 3.1 juta kepada 10.5 juta pada suku tersebut. Sementara Microsoft pula masih jauh ketinggalan dengan penguasaan pasaran setakat 1.5% sahaja, dengan jualan sebanyak 0.5 juta unit.

Hasil penyelidikan terbaru oleh firma Strategy Analytics itu mendapati kenaikan tiga kali ganda pasaran Android dibantu oleh tablet keluaran Samsung dan Amazon.

Android membuktikan ia mampu popular di kalangan pengilang tablet walaupun terdapat kebimbangan dan ketidaktentuan pada variasi sistem operasi Android, antaramuka dan ekosistem kedai aplikasi (app store).

Laporan itu juga menyatakan bahawa penghantaran tablet global meningkat kepada 66.9 juta unit pada tahun 2011, hampir empat kali ganda berbanding 18.6 juta yang dihantar pada tahun 2010. "Penghantaran" itu mewakili jumlah yang dijual oleh pengilang kepada peruncit dan tidak semestinya menggambarkan jumlah jualan runcit kepada pengguna.

- PUTERA.com

Sunday 29 January 2012

Pengguna pcAnywhere diancam penggodam


Anda masih guna pcAnywhere? Jangan cari nahas! Symantec memberitahu bahawa kini terdapat kurang daripada 50,000 komputer di dunia ini masih menggunakan perisian kawalan PC jarak jauh itu yang pernah popular suatu ketika dahulu, dan kini Symantec merayu anda untuk membuangnya dengan segera!

Jika anda masih menggunakan PcAnywhere, anda sebenarnya meletakkan rangkaian komputer anda dalam risiko yang tinggi, lebih-lebih lagi perisian itu membolehkan anda mengawal sepenuhnya komputer dari jauh.

Masalahnya berpunca daripada serangan penggodam Anonymous yang berjaya memasuki rangkaian Symantec dan mencuri sumber-sumber kod perisian syarikat itu baru-baru ini.

Menurut Symantec, kod-kod sumber yang didakwa dicuri oleh Anonymous adalah kod sumber tahun 2006 yang melibatkan produk-produk Norton Antivirus Corporate Edition; Norton Internet Security; Norton SystemWorks (Norton Utilities dan Norton GoBack); serta pcAnywhere.

Produk-produk anti virus dan sekuriti sudah tentulah mempunyai kemaskini yang dihasilkan selalu, tetapi masalahnya ialah pada perisian pcAnywhere yang seakan-akan sudah dilupakan. Versi terakhir perisian pcAnywhere dikeluarkan pada tahun 2006 iaitu versi 12 dengan kemaskini terakhir pada versi 12.5.

Dengan kata lain, penggodam mempunyai kod sumber perisian pcAnywhere yang terkini! Dengan kod sumber berkenaan penggodam dikhuatiri berupaya untuk tahu lubang-lubang kelemahan pada perisian berkenaan dan menggunakannya untuk menggodam komputer-komputer lain yang masih menggunakan perisian terbabit.

Satu cara yang selamat ialah mengeluarkan (uninstall) perisian pcAnywhere dan menggantikannya dengan perisian lain yang lebih terkini umpamanya Teamviewer atau Mikogo.

Rujukan lengkap mengenai isu ini boleh diakses melalui Technical White Paper yang dikeluarkan oleh Symantec.

Dalam perkembangan terbaru, Symantec telah mengeluarkan pembetulan (patch) melalui saranan sekuriti khas mengenai perisian pcAnywhere untuk versi 12.0, 12.1 dan 12.5.

pcAnywhere sebenarnya memang sebuah perisian yang senang diguna dan memudahkan anda untuk mengawal komputer lain dari jarak jauh menerusi rangkaian dan Internet. Jika anda masih berminat atau terpaksa menggunakan perisian ini, ia masih boleh dibeli melalui Amazon.

Jika anda menggunakan pcAnywhere versi yang lebih lama, segala risiko anda tanggung sendiri!

- PUTERA.com

Thursday 26 January 2012

Microsoft bayar Nokia US$250j untuk guna Windows


Laporan kewangan syarikat Nokia mendedahkan bahawa Microsoft telah membayar sebanyak US$250 juta pada suku ke-4 2011 supaya menggunakan Windows dalam telefon mereka.

Kedua-dua syarikat itu sebelum ini agak liat untuk mendedahkan jumlah pelaburan yang terlibat dalam usahasama mereka, namun statistik dari laporan itu menunjukkan ia adalah permulaan kepada subsidi dari Microsoft yang dijangka mencecah bilion.

"Perjanjian strategik luas kami dengan Microsoft merangkumi bayaran sokongan platform dari Microsoft kepada kami dan juga bayaran royalti perisian dari kami kepada Microsoft," kata Nokia dalam laporan kewangannya. "Kami punyai struktur royalti perisian yang kompetetif yang termasuk komitmen royalti minimum."

Perjanjian itu membayangkan Nokia hanya membayar dalam jumlah yang kecil kepada Microsoft untuk menggunakan Windows Phone dalam setiap telefonnya jika dibandingkan dengan pemegang lesen lain seperti HTC dan Samsung.

Menurut Nokia, untuk sepanjang hayat perjanjian itu, kedua-dua bayaran sokongan platform dan komitment royalti minimum dijangka akan mencecah berbilion dolar.

Nokia Lumia 900
Nokia dianggarkan telah menjual 1 juta telefon menggunakan Windows Phone pada November hingga Disember lalu untuk pasaran Eropah pada model Nokia Lumia 710 dan 800. Pasaran di Amerika Syarikat pula baru dimulakan dengan model Lumia 710. Model Lumia 900 pula dijangka akan mula dipasarkan di Amerika Syarikat dan Eropah akhir tahun nanti.


Microsoft dan Nokia dijangka akan teruji apabila Windows Phone dibawa memasuki pasaran 'yang sedang berkembang' yang secara tradisionalnya telefon bajet rendah Nokia menguasai pasaran mendahului Samsung atau Apple, seperti di Asia.

- PUTERA.com

Sunday 15 January 2012

Konsep Maya Diperkenalkan Di Sekolah Dua Tahun Lagi


IBU bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak mereka menerusi konsep maya yang akan diperkenalkan Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah dalam dua tahun lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata konsep itu, yang akan dilaksanakan sebagai projek perintis di beberapa sekolah mulai tahun depan, antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video.

Projek perintis itu akan dikenali sebagai "Virtual Learning" atau Pembelajaran Maya, katanya dan menurutnya konsep itu dicontohi daripada konsep yang diamalkan di negara maju seperti Korea Selatan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ibu bapa boleh mengetahui maklumat lanjut mengenai prestasi pelajaran anak mereka dengan berhubung terus dengan guru-guru menerusi Internet.
"Berdasarkan maklumat ini, ibu bapa boleh terus mendapatkan nasihat guru berdasarkan capaian prestasi pelajar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam lawatannya ke Korea Selatan pada Julai tahun lepas, Muhyiddin turut meninjau sistem pendidikan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi negara itu, National Education Information System (NEIS), yang membangunkan jaringan komputer untuk menghubungkan semua sekolah.
Jaringan itu membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak-anak di sekolah serta berhubungan dengan guru menerusi internet.
Terdahulu, dalam ucapannya kepada guru dan ibu bapa di sekolah itu, Muhyiddin berkata ibu bapa perlu melibatkan diri dalam sistem sekolah anak-anak mereka kerana sudah dibuktikan di dalam negara ini, penglibatan ibu bapa banyak membantu pelajar dan sekolah itu sendiri berjaya.
"Di banyak negara yang dilawati, yang saya temui menyambut saya dahulu bukanlah guru tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya, ibu bapa ini memberitahu "kami datang ke sini untuk membantu sekolah kami kerana anak-anak kami belajar di sekolah ini," katanya.
Beliau menekankan bahawa tidak ada yang paling utama selain pelajaran buat anak-anak kerana sejarah negara ini sudah membuktikan bahawa pelajaran mampu mengubah nasib seseorang atau bangsa.
"Semasa (sebelum) merdeka, 70 peratus rakyat miskin kerana kita dijajah... walaupun ada sekolah tetapi tidak ada bantuan dari penjajah. Selepas merdeka, penyelesaian kepada soal kemiskinan itu ialah ilmu, dasar pelajaran negara kita ialah untuk membantu rakyat keluar dari kemiskinan itu dan hari ini peratusan itu telah menurun," katanya.
Muhyiddin berkata di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak bidang sudah dikuasai oleh anak-anak Malaysia hasil daripada pendidikan berkualiti.
Beliau turut menasihati pengurusan sekolah dan ibu bapa supaya turut mengutamakan aktiviti kokurikulum dan sukan.
"Ada sekolah yang tidak kisahkan keadaan padang, tidak kisah jika sekolah itu tiada gelanggang sukan kerana mereka terlalu mementingkan pencapaian pelajaran. Ada ibu bapa pula, ada yang menganggap aktiviti kurikulum menganggu kelas tuisyen anak-anak.
"Sikap ini merupakan satu kesilapan kerana sukan membantu membentuk sahsiah pelajar seperti sifat hormat dan bertanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA

Saturday 14 January 2012

Samsung Galaxy W dan Galaxy Y untuk remaja



JENAMA Galaxy bagi produk telefon pintar dan komputer tablet daripada Samsung terus mendapat tempat di hati penggemar gajet negara ini.
Selain model sedia ada, syarikat teknologi tersebut baru-baru ini memperkenalkan dua lagi model telefon bimbit pintar terbaru untuk portfolio yang sama.
Samsung Galaxy W dan Samsung Galaxy Y hadir bagi melengkapkan keperluan komunikasi golongan muda yang sentiasa mencari gajet bergaya, segar serta mempunyai fungsi lengkap.
Kedua-duanya disempurnakan bersama reka bentuk dan kemasan cukup menarik selain dilengkapi prestasi komunikasi mobiliti unggul.
Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd., Kwon Jae Hoon berkata, pihaknya sentiasa komited mencari kelainan dalam setiap produk yang dihasilkan menerusi aktiviti kajian inovasi secara berterusan.
"Tujuan inovasi ini adalah untuk memberi peluang kepada setiap peringkat pengguna mengaplikasi telefon bimbit pintar secara lebih ideal.
"Apa yang unik mengenai model-model ini, kedua-duanya dibangunkan hasil gabungan idea sasaran pengguna profesional dan juga remaja.
"Menerusi pendekatan itu, kami yakin dan percaya ia mampu mewujudkan fenomena kejayaan baru untuk rangkaian produk Galaxy Samsung,'' katanya.
Untuk Samsung Galaxy W, ia dilengkapi spesifikasi teknologi yang cukup menarik di mana ia disokong oleh pemproses berkuasa 1.4GHz, sistem operasi Android Gingerbread 2.3 serta sambungan rangkaian HSDPA 14.4 Mbps.
Bagi fungsi paparan, model berkenaan tersedia dengan skrin sentuh TFT-LCD 3.7 inci sesuai untuk pelaksanaan aktiviti permainan video, pelayaran web dan tontonan video.
Tidak cukup dengan itu, ia turut dilengkapi aplikasi Samsung Game dan Music Hubs sebagai pelengkap aktiviti hiburan selain aplikasi Kies Air untuk membantu pengguna menjejak telefon mereka sekiranya disalah letak.
Sementara bagi model Samsung Galaxy Y, keunikannya ditampilkan pada pilihan warna-warna ceria seperti putih mutiara, oren, merah jambu, silver dan hitam untuk penutup belakang telefon itu.
Model kompak dengan ketebalan hanya 11.5 milimeter (mm) itu turut dipacu antaramuka TouchWiz untuk tawaran pengalaman operasi intuitif yang ringkas dan lancar.
Daripada segi saiz pula, ia selesa untuk genggaman di tapak tangan dan sesuai dimuatkan di poket menjadikannya sesuai dibawa ke mana-mana untuk keperluan hiburan pengguna.
Samsung Galaxy W dan Samsung Galaxy Y telah pun memasuki pasaran Malaysia dengan masing-masing dijual pada harga RM999 dan RM499.
Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi daripada laman web www. samsung.com/my.

View the original article here

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More