Tuesday 30 October 2012

Galaxy Note II untuk pengguna kreatif

Samsung baru-baru ini telah melancarkan model terbaru telefon pintar Galaxy Note II, yang menjanjikan  pengalaman yang unik dengan kandungan kreatif.

Galaxy Note yang dilancarkan pada tahun lalu telah membuka laluan kepada produk ini yang kini dipertingkatkan lagi dengan keupayaan untuk membantu pengguna mengasah kreativiti mereka untuk bekerja atau sewaktu berehat.

Peranti yang dianggap sebagai pengantara kepada telefon pintar dan tablet ini direka untuk membantu penggunanya berkreatif

Ia menggunakan paparan 5.5-inci HD Super AMOLED Plus yang menawarkan kecerahan skrin yang luar biasa. Dengan nisbah skrin lebar 16:9 paparan video akan jadi lebih menarik.

Saiznya yang nipis serta ringan memberikan kelebihan dan kemudahan kepada pengguna dalam tugasan mereka, lebih-lebih lagi dengan bantuan S Pen.

Dengan menggunakan S Pen, pengguna boleh menggabungkan tulisan tangan dengan kandungan digital terus pada skrin.

S Pen juga dilengkapi butang yang boleh digunakan untuk pelbagai tugas termasuk menyunting gambar, menambah warna, atau menulis nota.

Ciri-ciri Air View pula membolehkan S Pen diletak dipermukaan skrin tanpa perlu menyentuhnya untuk melihat e-mel, fail atau video

Dikuasakan dengan pemproses Quad-Core 1.6GHz dan HSPA Plus, peranti ini melancarkan lagi pelbagai tugasan pengguna serta pantas memulakan operasi.

Sistem operasi Android ™ 4.1 Jellybean pula akan menawarkan antaramuka grafik yang menarik.

Ciri-ciri AllShare Play membolehkan pengguna berkongsi kandungan dengan menyambungkan Galaxy Note II ini kepada peranti lain seperti televisyen Samsung HD, telefon, tablet dan komputer riba yang ada dalam rangkaian.

Pengguna yang suka berkongsi fail pula boleh menggunakan AllShare Group Cast untuk berkongsi pelbagai dokumen dan fail imej dalam masa nyata.

Samsung Galaxy Note II dipasarkan dengan pilihan warna putih dan kelabu.

- PUTERA.com

Monday 29 October 2012

MOSTI gariskan inisiatif Digital Malaysia


Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Digital Malaysia sebagai program kebangsaan yang bermatlamat membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan berstatus maju.

Rentetan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah diberi mandat untuk merealisasikan projek tersebut secara menyeluruh dalam semua aspek ekonomi.

Melengkapkan usaha itu, baru-baru ini, Timbalan Menterinya, Datuk Fadillah Yusof telah mengumumkan beberapa inisiatif sebagai kunci utama pelaksanaan Digital Malaysia.

''Digital Malaysia merupakan sebuah program unik yang berasakan tiga teras strategik untuk mencetuskan ekosistem mempromosi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua aspek ekonomi.

''Menerusinya, ia dapat menghubung masyarakat global untuk membolehkan mereka berinteraksi dalam masa nyata serta meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (GNI), produktiviti dan seterusnya memperbaiki taraf kehidupan.

''Tiga teras ini akan digabungkan bersama inisiatif sedia ada secara efektif dalam memupuk ekosistem digital bersepadu,'' jelasnya pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara teras tersebut adalah untuk menukar hala tuju pembekalan kepada permintaan, penggunaan kepada produksi dan menambah pengetahuan rendah kepada yang tinggi.

Secara asasnya, terdapat lapan projek yang dikenalpasti akan dilaksana bermula tahun ini termasuk Hab e-Fulfilment Asia, perkhidmatan e-Payment bagi perniagaan kecil dan sederhana (IKS), perusahaan perkongsian awan, sumber mikro, e-Dagang, pembelajaran dalam talian dan Mobile Digital Wallet.

Dari sudut produktiviti, Digital Malaysia dijangka menyumbang sebanyak satu peratus kepada anggaran pertumbuhan keseluruhan IKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2020.

Bagi impak standard taraf hidup pula, program itu mampu menyumbang pendapatan sebanyak RM7,000 setiap tahun kepada 350,000 rakyat melalui perolehan digital.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali menyifatkan Digital Malaysia mampu membantu usahawan digital alaf baru memacu penggunaan automasi dan teknologi dalam meningkatkan produktiviti bisnes mereka.

''Hari ini, Malaysia menikmati asas ICT yang kukuh namun inisiatif digital menyeluruh masih perlu diambil bagi memastikan negara mampu bergerak maju ke hadapan.

''Melalui Digital Malaysia, ia akan menggalakkan inovasi di kalangan syarikat-syarikat domestik untuk diperluas ke peringkat global,'' jelasnya.

Di samping itu, anggaran pelaburan sebanyak RM31.2 bilion akan dapat dijana daripada Digital Malaysia selain menyediakan sebanyak 160,000 peluang pekerjaan.

Sebagai kemuncaknya, program Digital Malaysia berhasrat mampu meningkatkan sumbangan GNI sebanyak 17 peratus (RM294 billion) dan mendaki kedudukan 20 teratas dalam Economist Intelligence Unit Digital Economy Rankings.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20121022/me_03/Digital-Malaysia#ixzz2CV7DefpR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday 20 September 2012

NuffnangX mudahkan blogger dan pembaca


Netccentric Pte Ltd yang merupakan syarikat induk komuniti pengiklanan blog Nuffnang.com , hari ini mengumumkan pelancaran produk inovatif terbaru NuffnangX . NuffnangX adalah aplikasi yang membolehkan pengguna untuk menerokai blog baru, mengikuti perkembangan blogger, dan berkomunikasi secara dua hala dengan mereka di mana sahaja. Ia boleh didapati pada platform IOS, android dan web.

Cabaran landskap teknologi yang berubah-ubah dan trend ke arah komunikasi bentuk pendek menyebabkab komuniti blog menghadapi kekangan, dan keperluan itulah yang cuba diisi dengan adanya NuffnangX.

"Pada zaman telefon pintar, kini adalah masanya untuk pembaca blog dapat membaca atau mencari blog kegemaran mereka di mana sahaja," kata Cheo Ming Shen, salah seorang pengasas bersama-NuffnangX dan Netccentric. "Pelancaran aplikasi ini adalah tepat pada masanya kerana itulah tujuan NuffnangX - untuk membolehkan anda Cari, Ikuti dan Berkomunikasi dengan blogger".

NuffnangX membolehkan pengguna untuk:

1. Cari bacaan baru.


Terdapat beribu-ribu blog di luar sana dengan kandungan yang menarik, dan sesuai dengan apa jua minat anda, NuffnangX akan memilih yang terbaik untuk memenuhi citarasa anda membaca. Fikirkan NuffnangX sebagai tukang cari blog yang memilih blog terbaik dari seluruh dunia untuk anda.

2. Ikuti blog kegemaran anda.


Mahu mendapatkan kemas kini cepat tentang apa yang penulis blog kegemaran anda tulis? NuffnangX akan  meringkaskan beratus-ratus dan beribu-ribu perkataan setiap entri blog pada suapan anda menjadi satu baris "elevator pitch" supaya anda boleh membuat keputusan dengan cepat sama ada ia cukup menarik untuk dibaca.

3. Berkomunikasi.


NuffnangX juga memudahkan proses mengulas (comment), menjadikan ia lancar dan mudah untuk digunakan. Pembaca dan blogger boleh melibatkan diri dalam perbualan dua hala yang boleh dilihat oleh pengguna lain, serta menerima makluman tentang komen baru di mana sahaja. Blogger kini boleh mendekati  pembaca baru dan pada masa yang sama, mengekalkan hubungan dengan pembaca yang sedia ada.

Menurut Ming Shen, cabaran yang dihadapi oleh blogger untuk melibatkan diri dengan pembaca mereka dan cabaran pembaca untuk kekal mengikuti blog kegemaran mereka dengan mudah dapat diatasi dengan adanya NuffnangX.

Tuesday 28 August 2012

Microsoft tukar logo baru selepas 25 tahun



Seiring dengan perkembangan pelbagai produk dan trend terkini Microsoft akhirnya menukar logonya kepada yang baru. Logo baru ini nampak lebih simple dengan tulisan "Microsoft" di sebelah empat petak warna.

Empat petak warna itu sudah sinonim dengan pengguna Windows cuma ia kini adalah empat segi tepat dan datar, tidak lagi beralun seperti bendera. Manakala huruf "O" dalam "micro" tidak ada lagi bentuk seperti "mulut Pac-Man"

Menurut blog rasmi Microsoft, kini adalah masa yang tepat untuk perubahan dengan pelbagai versi produk yang baru. ".. ia  mewakili satu era baru bagi Microsoft, jadi logo kita harus berubah untuk menyerlahkan permulaan baru ini."

Logo ini menggunakan font Segoe yang merupakan huruf yang sama digunakan dalam produk serta kempen pemasaran Microsoft. Manakala simbol warna yang datar adalah bertujuan untuk meluahkan portfolio pelbagai produk syarikat.

Grafik berikut menunjukkan evolusi logo Microsoft sejak ia ditubuhkan.


Monday 2 April 2012

Seminar percuma "Twitter for Business"

Twitter adalah salah satu media sosial yang popular pada ketika ini, tetapi dengan batasan 140 huruf dalam setiap mesej yang boleh kita "tweet" pada satu-satu masa, adakah ia boleh digunakan untuk tujuan perniagaan? Bagaimana pula untuk mendapatkan pengguna lain menjadi pengikut anda, dan siapa yang patut anda ikut?

Ketahui bagaimana untuk menggunakan Twitter untuk pemasaran perniagaan melalui video seminar online ini. Video bahasa Inggeris ini berlangsung hampir sejam.



Tips: Klik pada ikon  CC  pada video player untuk mendapatkan sarikata.

Monday 19 March 2012

Seminar percuma "Facebook for Business"

Ketahui bagaimana untuk menggunakan Facebook untuk pemasaran perniagaan melalui video seminar online ini. Sebagaimana yang ramai sudah tahu, Facebook berkembang pesat dan pada masa ini terdapat separuh dari rakyat Malaysia sudahpun ada di dalam Facebook. Justeru, memiliki Fan Page untuk perniagaan anda dalam Facebook boleh menjadi satu cara yang berkesan untuk terlibat dalam perkembangan media sosial ini.

Seminar hampir sejam dalam bahasa Inggeris ini akan memberi pendedahan kepada peserta apakah asas-asas yang perlu mereka tahu untuk memulakan Facebook Fan Page mereka.




Tips: Klik pada ikon  CC  pada video player untuk mendapatkan sarikata.

Thursday 1 March 2012

Windows 8 Consumer Preview boleh dimuat turun


Microsoft hari ini mengumumkan bahawa preview untuk sistem operasi terbarunya Windows 8 versi Consumer sedia untuk dicuba oleh pengguna.

Windows 8 menawarkan pengalaman yang baru dalam mengendalikan komputer dan kelihatan seiring dengan trend komputer tablet masa kini.

Presiden Microsoft’s Windows dan Windows Live, Steven Sinofsky  memberitahu Windows 8 membawa gaya baru dalam cara bagaimana manusia berinteraksi dengan komputer peribadi. Komputer dekstop, laptob, tablet semuanya akan kelihatan bergabung dan terintergrasi.

Dapatkan preview untuk Windows 8 menerusi http://preview.windows.com.


Saturday 25 February 2012

Dapur gas memasak jenama iPhone kena rampas


Para peminat iPhone dijangka kecewa kerana produk istimewa jenama iPhone ini tidak sempat sampai ke Malaysia kerana terlebih dahulu telah dirampas oleh pihak berkuasa di China.

Produk tersebut adalah dapur gas penunu tunggal jenama iphone yang telah dirampas oleh polis dari dua gudang di wilayah Wuhan, China.


Bahagian hadapan gapur gas berkenaan adalah berwarna hijau dan memaparkan logo Aple serta iphone, serta dipakej dalam kotak yang juga berwarna hijau.

Kesemua 681 unit dapur gas memasak yang dirampas didapati tidak dilengkapi sistem perlindungan pencegahan 'flame-out', tetapi mempunyai sijil pematuhan yang berlabel "Apple China Limited".



Dapur gas itu walau bagaimanapun dikhuatiri tidak boleh digunakan untuk membuat panggilan telefon serta hanya mempunyai satu aplikasi terbina dalam iaitu untuk memasak :P

Sumber: micgadget.com

Saturday 18 February 2012

Bagaimana membina Page dalam Facebook


Facebook memberikan kemudahan kepada setiap penggunanya untuk membina laman (page). Laman itu boleh digunakan untuk mengumpul peminat atau pengikut kepada individu, komuniti, syarikat mahupun produk.

Langkah 1

Untuk mula membina laman ini, anda hanya perlu klik pada pautan "Create a Page" yang terdapat pada bahagian paling bawah Facebook ataupun sebelah kanan atas dalam mana-mana laman orang lain.

Langkah 2



Setelah itu anda akan dipaparkan dengan pilihan untuk menentukan jenis laman yang hendak dibina sama ada jenis tempat dan perniagaan setempat (contohnya Gerai Ikan Bakar Morib); syarikat, organisasi atau institusi; jenama atau produk; artis, kumpulan artis atau tokoh-tokoh tertentu; hiburan; ataupun komuniti.

Pilih jenis yang sesuai dan klik pada ikon. Pada peringkat ini, anda tidak perlu terlalu risau untuk memilih jenis kerana untuk sesuatu perniagaan, ia mungkin boleh berada dalam lebih dari satu jenis laman.

Langkah 3




Kemudian tentukan kategori yang berkenaan atau hampir dengan laman yang anda hendak bina. Masukkan juga nama laman yang anda inginkan. Jika anda memilih jenis tempat atau perniagaan setempat, anda akan diminta untuk memasukkan nama dan alamat syarikat, dan jika memilih komuniti, anda tidak perlu memilih kategori, cukup dengan nama sahaja.

Akhir sekali tandakan (tick) pada "I agree to Facebook Pages Terms" dan klik butang "Get Started". Sekiranya anda berminat untuk membaca terma dan syarat terperinci mengenai laman Facebook, anda boleh klik dahulu pada pautan yang diberi.

Langkah 4



Seterusnya anda akan diminta untuk memuat naik gambar atau imej untuk dijadikan gambar profail laman anda. Di sini anda boleh gunakan gambar foto anda, logo perniagaan atau apa-apa imej yang sesuai dengan perniagaan yang anda jalankan.

Salah satu amalan yang terbaik ialah dengan menyediakan terlebih dahulu imej berkenaan di dalam komputer anda dengan menggunakan gabungan teks dan foto untu membentuk grafik yang menarik. Anda boleh tulis nama syarikat, jenama, slogan, nombor telefon dan sebagainya. Saiz yang baik untuk tujuan ini ialah 180px lebar dan 450px tinggi.

Layari Facebook dan cuba lihat pelbagai bentuk imej profail yang baik dan menarik untuk dijadikan panduan.
Imej ini boleh dimuat naik terus dari komputer anda ataupun diimport daripada URL lain.
Anda boleh langkau langkah ini jika ingin memasukkan imej tersebut di masa yang lain. Bila selesai klik "Continue".

Langkah 5


Selepas itu anda akan dipaparkan dengan pilihan untuk menjemput rakan-rakan anda untuk mengunjungi laman yang baru anda bina. Anda boleh jemput rakan-rakan yang ada di dalam Facebook mahupun yang belum. Sekiranya anda sudahpun mempunyai senarai pelanggan, gunakan butang "Import Contacts" untuk menjemput mereka sehingga 5,000 orang sekaligus.

Anda juga boleh langkau langkah ini jika perlu. Bila selesai klik "Continue".

Langkah 6




Akhir sekali, masukkan maklumat asas iaitu alamat laman web anda sekiranya anda, serta penerangan ringkas mengenai laman. Pastikan anda mengisinya dengan baik kerana ia akan membantu mempermudahkan bakal pelanggan menemui anda menerusi carian di Facebook dan juga Google.
Bila siap, klik "Continue".

Langkah 7



Nah, laman anda sudah siap! Jika anda ingin menyunting atau menambah maklumat berkaitan perniagaan, klik saya pada pautan "Edit Info" yang terletak di bawah tajuk. Manakala butang "Edit Page" di sebelah kanan akan membolehkan anda mengubah ketetapan lain seperti menentukan senarai pentadbir bagi laman ini (anda boleh lantik orang lain untuk tolong uruskan laman anda), menentukan had akses pengguna dan lain-lain.

Anda diberi pilihan sekali lagi untuk menjemput rakan-rakan atau mengimport senarai pelanggan yang sedia ada. Laman pemula ini juga akan membantu anda membuat kemaskini (post update) pertama anda, serta membantu anda untuk meletakkan kotak "like" di dalam laman web (jika ada) untuk menarik trafik pengunjung ke laman Facebook anda.

Anda juga boleh tetapkan nombor telefon mudah alih anda untuk memudahkan anda memuat naik gambar serta mengemaskini stasus melalui telefon.

Klik pada pautan "Wall" untuk melihat bagaimana rupanya laman anda jika dilihat oleh orang lain.
Di sebelah kiri laman, anda akan dapati ada nombor yang akan memaparkan jumlah pengguna yang telah like laman itu.

Apabila laman anda sudahpun mempunyai sekurang-kurangnya 30 orang like, anda akan diberi pautan "Insights" yang akan membolehkan anda memantau perkembangan laman anda dari aspek perkembangan jumlah pengikut pada setiap hari, jumlah pengguna yang "bercakap" mengenai laman anda serta tindak balas dari setiap tulisan yang anda poskan ke laman itu.

Jika anda melepasi tahap minimum 30 orang, anda juga akan diberi peluang untuk mencipta URL pintasan kepada laman anda iaitu dalam bentuk alamat www.facebook.com/nama-laman-anda.


Wednesday 15 February 2012

iPad 3 akan dilancar 7 Mac?


Khabar-khabar angin di Internet mengatakan Apple akan melancarkan iPad 3 pada 7 Mac nanti.
Hari tersebut adalah jatuh pada hari Rabu, iaitu hari yang sama Apple memperkenalkan iPad 2 pada tahun 2011, malah Apple juga melancarkan iPad pertamanya pada hari Rabu 27 Januari 2010.

Tarikh itu juga kena dengan ura-ura yang mengatakan Apple akan lancarkan tablet baru itu pada minggu pertama bulan Mac.

Pelancaran kedua-dua versi iPad sebelum ini dilakukan oleh mendiang Steve Jobs yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple pada ketika itu. Beliau meninggal dunia tahun lalu pada umur 56 tahun setelah lama bertarung nyawa dengan penyakit kanser pankreas yang dihidapinnya.

Jika Apple meneruskan tradisinya, maka CEO baru Apple, Tim Cook yang akan naik ke pentas pada tahun ini.

Bagaimanapun tidak ada siapa tahu tarikh sebenar pelancaran sehinggalah Apple menghantarkan jemputan kepada media, blogger dan firma penyelidikan.

Apple selalunya simpan rapi rahsia tentang tarikh pelancaran dan hanya mengumumkannya seminggu sebelum majlis sebenar. Jika mengandaikan 7 Mac adalah tarikh yang betul, Apple mungkin akan mengeluarkan jemputan berkenaan pada 29 Februari ataupun sekitar dua minggu dari sekarang.

Kebanyakan pakar percaya iPad 3 akan didatangkan dengan ciri-ciri skrin resolusi tinggi (Retina) dan pemproses yang lebih laju (mungkin pemproses quad-core pertama Apple), serta juga penambahan memori dalaman. Tablet itu juga mungkin akan dipasarkan dengan harga bermula dari US$499 (RM1,515) dan ke atas.

Mengikut ramalan oleh penganalis Wall Street, iPad 3 dijangka akan melonjakkan jualan tablet Apple kepada 11.3 juta untuk suku pertama, iaitu sehingga 140% daripada 4.7 juta unit yang syarikat itu jual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

- PuTeRA.com

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More