Laman Utama


 
PAMERAN
CETUSAN
INOVASI
EVOLUSI
BERITA
ARTIKEL
GALERI
<~ Menu Utama

 

Berita

Generasi muda perlu bangkit kuasai ilmu - Najib
Published: February 15, 2007

 Umat Islam terutama generasi muda perlu bangkit membela nasib ummah dan mengangkat kembali maruah mereka melalui penguasaan ilmu pengetahuan yang membawa kemajuan serta kemakmuran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam perlu menjadi perintis inovasi dan ilmu baru bagi mengurangkan kebergantungan Islam kepada bangsa lain di dunia.

Beliau berkata, harapan itu boleh direalisasikan  kerana sejarah membuktikan bahawa ilmuwan Islam merupakan perintis inovasi dan teknologi dunia moden.

``Mengapa kita sewenangnya menyerahkan soal inovasi sains dan teknologi kepada bangsa lain dan kita sekadar menjadi pak turut?

``Persoalan ini perlu direnung dan dijadikan iktibar untuk kita kembali memartabatkan Islam yang semakin terhakis hari demi hari,’’ katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam: Sains Islam Mendahului Zaman di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Islam, jelasnya, telah mendahului zaman dengan pelbagai produk berinovasi ketika dunia Barat dan Eropah masih dalam zaman kegelapan.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam menjadi mundur apabila dipengaruhi golongan yang menyempitkan tafsiran bahawa agama suci itu hanya mementingkan ilmu akhirat.

``Bangsa lain akhirnya bangkit dan menciplak teknologi Islam dan melabelkannya sebagai produk mereka yang kemudian disanjung  dunia,’’ katanya.

Kesan daripada itu, tegas Najib, Islam terus dihina, dicaci dan dikatakan sebagai agama pengganas, kolot serta kejam.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan,  pameran tamadun Islam yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu seharusnya menjadi titik tolak bagi mengubah tanggapan negatif berkenaan.

``Kehadiran lebih 250,000 pengunjung sepanjang pameran ini membuktikan rakyat Malaysia berminat dengan teknologi dan saya berharap usaha ini menjadi pencetus kepada kealpaan kita,’’ katanya.

Beliau berkata, pameran yang diadakan  dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Sejarah Sains Islam Universiti Johan Wolfgang Goethe, Jerman  itu akan membantu melahirkan generasi pemikir Islam.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dalam ucapannya berkata, pameran berkenaan akan diadakan di setiap negeri di Semenanjung atas permintaan ramai.

Pameran Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam itu mempamerkan 148 replika instrumen serta peralatan, poster, model dan manuskrip berkaitan sains dan teknologi yang dibangunkan oleh  ilmuan Islam lampau. Pameran itu berlangsung sejak 8 Januari lalu.

Semua bahan pameran itu dihasilkan semula berdasarkan kepada kajian yang dijalankan  oleh Pengarah dan Pengasas Institut Sejarah Sains Arab-Islam, Dr. Fuat Sezgin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh.

Laman Utama ~ Bahasa Melayu ~ English © MOSTI & Maintained by Media Active Sdn. Bhd.