Berita250,000 kunjungi pameran Published: February 22, 2007
PAMERAN Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam yang bermula pada 8 Januari lalu dan di tutup secara rasminya pada 15 Februari lalu telah dikunjungi 250,000 pengunjung. Ia membuktikan pameran yang mengketengahkan ciptaan ilmuan Islam dalam bidang sains dan teknologi itu mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat di negara ini termasuk yang bukan Islam. Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan ditutup ole Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Institut Sejarah Sains Arab-Islam, Universiti Johann Wolfgang Geothe di Frankfurt, Jerman itu akan mempamerkan sebanyak 148 bahan termasuk replika, poster, model boleh berfungsi serta manuskrip. Bahan pameran akan dibahagikan kepada empat kategori iaitu Astronomi Islam, Geografi dan Navigasi; Penemuan dan Reka Cipta Perubatan; Matematik, Seni dan Arkitek serta Teknologi dan Reka Cipta. Semua bahan pameran asal kini dipertontonkan di Pusat Sains Negara dari 26 Feb lalu sehingga 31 Mac ini sebelum disimpan di Muzium Topkapi, Turki. Disebabkan kejayaan itu, pihak kementerian juga membawa pameran yang sama dalam bentuk replika atau model ciptaan saintis Islam itu ke seluruh negara bagi membolehkan semua rakyat menyaksikannya melalui Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam-Sains Islam Mendahului Zaman secara “on-wheel.” Perak merupakan destinasi pertama pameran itu pada 6 Mac lalu dan akan berakhir di Selangor pada 4 April ini. Kementerian menggunakan dua buah bas khas iaitu yang memuatkan replika dan model ciptaan saintis Islam manakala sebuah bas lagi khusus memberikan penerangan dalam bentuk persembahan multimedia. |