BeritaPameran akan ke seluruh negeri Published: February 20, 2007
PAMERAN Kegemilangan Sains dan Tamadun Islam yang baru sahaja berakhir akan diadakan di semua negeri tidak lama lagi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis. Beliau berkata langkah itu bagi membangkitkan kesedaran di kalangan lebih ramai umat Islam di negara ini bahawa agama Islam bukan hanya berkaitan soal ibadah tetapi juga perkara lain yang membawa kejayaan umat Islam pada masa lampau. “Ini akan dapat memastikan umat Islam menjadikan sains dan teknologi sebahagian daripada kehidupan mereka di mana ia merupakan sebahagian daripada ilmu Islam selain daripada ilmu wahyu,” katanya ketika berucap di majlis makan malam meraikan petugas yang menjayakan pameran itu baru-baru ini. Pameran Kegemilangan Sains dan Tamadun Islam yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Pusat Sains Negara berlangsung selama lebih sebulan sejak 8 Jan lalu. Katanya pameran tersebut akan diadakan di masjid negeri bagi membolehkan umat Islam menyaksikan sains dan teknologi ciptaan ilmuan Islam sebelum mereka mengerjakan solat. Jamaluddin juga berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi memperbetulkan fakta berkaitan sejarah ketamadunan dunia dan Islam di dalam buku teks sekolah bagi memastikan pelajar di negara ini dididik dengan fakta sebenar. |