Laman Utama


 
PAMERAN
CETUSAN
INOVASI
EVOLUSI
BERITA
ARTIKEL
GALERI
<~ Menu Utama

 

Berita

Tamadun Islam rujukan pembangunan Barat
Published: April 3, 2007

 HASIL kejayaan saintis dan ilmuan Islam yang mencipta tamadun suatu ketika dahulu telah dijadikan rujukan kepada bangsa Eropah untuk membangunkan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang sehingga masa kini.

 Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Johor, Zainal Abidin Osman berkata, bangsa tersebut telah meniru keintelektualan Islam seperti kejayaan dalam bidang perubatan, astronomi dan ekonomi sehingga berlaku  perubahan besar dalam sejarah tamadun mereka pula.

 "Kemajuan bangsa Eropah dalam pelbagai bidang pada masa ini sebenarnya dicedok daripada hasil kejayaan Islam mencipta tamadunnya suatu ketika dahulu."

 "Bagaimanapun, Barat masih gagal dan tidak mahu memanfaatkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam tamadun Islam untuk mengukuhkan tamadun mereka.

‘ ‘Sebaliknya, mereka menggantikan nilai murni itu dengan nilai kebendaan dan kerananya mereka menjajah negara lain secara sewenang-wenangnya,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Kegemilangan Islam Dalam Tamadun Islam ‘On-Wheels’ di pekarangan Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Agama Johor, Datuk Zalli Baron.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abdul Latiff Mohd. Yusof serta Pegawai  Daerah Batu Pahat, Yahaya Mohd Salleh.

  Pameran dua hari anjuran bersama Majlis Agama Islam Johor dan Unit Sains Teknologi dan Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) negeri itu mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Institute For The History of Arabic-Islamic Science, Johann Wolfgang Goethic University, Frankfurt, Jerman.

 Menurut Zainal Abidin, kerana sikap itu, akhirnya masyarakat Barat kini maju dari segi kebendaan tetapi moral mereka semakin menuju kehancuran.

 Beliau berkata, pengaruh Islam turut membantu membebaskan orang Eropah daripada dibelenggu dengan doktrin agama yang sempit.

 Perubahan sikap yang berlaku di kalangan orang Eropah ketika itu, jelasnya, menjadi pemangkin kepada satu gerakan intelektual yang dikenali sebagai ‘fahaman humanisme’ pada kurun ke-13.

 Tambah beliau, karya beberapa tokoh falsafah Islam seperti Al Kindi, Ibn Tufail dan Ibn Rushd yang menyatakan bahawa manusia boleh mengenal tuhan tanpa wahyu dan guru, mempengaruhi pemikiran orang Eropah.

 ‘‘Karya beberapa tokoh falsafah Islam turut diterjemah ke bahasa Latin dan beberapa bahasa Eropah bagi memudahkan mereka menghayati ilmu berkaitan,” katanya.

 Mengenai pameran pula, Zainal Abdidin berkata, matlamat utama pameran itu untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat artifak-artifak yang pernah digunakan pada permulaan tamadun Islam.

 Pameran itu, beliau berkata, diharapkan dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya penguasaan ilmu sains dan teknologi sebagai asas kecemerlangan dan kemajuan sesebuah negara.

Laman Utama ~ Bahasa Melayu ~ English © MOSTI & Maintained by Media Active Sdn. Bhd.