Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Tuesday 27 November 2012

Pelajar jadi pengurus pasukan bola hasil main game



Kehebatan bermain permainan video Footbal Manager akhirnya membuahkan hasil bagi seorang pelajar kerana baru-baru ini dia diterima untuk bekerja sebagai pengurus pasukan 'A' FC Baku di Azerbaijan.

Vugar Huseynzade, seorang pelajar berusia 21 dari Sweden, mendapat pekerjaan di salah satu daripada kelab bola sepak teratas Azerbaijan dan dikatakan berjaya mengenepikan nama-nama besar termasuk lagenda Perancis, Jean-Pierre Papin untuk jawatan itu - walaupun pengalaman beliau hanya menguruskan sebuah pasukan di dalam komputer.

Namun minatnya pada permainan maya, ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti Boston, serta sedikit pengalaman dengan agensi sukan di Amerika Syarikat nampaknya cukup untuk membolehkan dia diterima ke jawatan tersebut.

"Saya sentiasa mahu bekerja dalam bola sepak dan telah bermain Football Manager sejak tahun 2002," kata Huseynzade kepada sebuah akhbar Scandinavia, Aftonbladet.

Huseynzade yang memang dilahirkan di Azerbaijan diberi tanggungjawab sebagai pengurus pasukan rizab selepas penyandang sebelumnya, Kamran Ismayilov meninggalkannya lebih daripada dua tahun lalu.

Akhbar berkenaan melaporkan bahawa pertemuan dengan naib presiden FC Baku membantu dia pada awalnya mendapatkan pekerjaan di kelab itu sebagai pembantu penasihat pada Februari lalu.

Sumber: eurosport.yahoo.com

Friday 23 November 2012

Lelaki Thai maut bermain game



Seorang remaja di Bangkok, Thailand yang ketagih bermain game ditemui mati beberapa hari lalu di hadapan komputernya selepas bermain selama beberapa malam tanpa tidur.

Mayat lelaki berusia 24 tahun itu ditemui di kerusi dalam biliknya di sebuah rumah di wilayah Samut Songkhram barat daya Bangkok.

"Beliau ketagih kepada permainan. Beliau jarang-jarang masuk tidur dan sentiasa memainkan permainan komputer dari malam sehingga pagi," kata pegawai penyiasat.

Monday 29 October 2012

MOSTI gariskan inisiatif Digital Malaysia


Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Digital Malaysia sebagai program kebangsaan yang bermatlamat membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan berstatus maju.

Rentetan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah diberi mandat untuk merealisasikan projek tersebut secara menyeluruh dalam semua aspek ekonomi.

Melengkapkan usaha itu, baru-baru ini, Timbalan Menterinya, Datuk Fadillah Yusof telah mengumumkan beberapa inisiatif sebagai kunci utama pelaksanaan Digital Malaysia.

''Digital Malaysia merupakan sebuah program unik yang berasakan tiga teras strategik untuk mencetuskan ekosistem mempromosi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua aspek ekonomi.

''Menerusinya, ia dapat menghubung masyarakat global untuk membolehkan mereka berinteraksi dalam masa nyata serta meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (GNI), produktiviti dan seterusnya memperbaiki taraf kehidupan.

''Tiga teras ini akan digabungkan bersama inisiatif sedia ada secara efektif dalam memupuk ekosistem digital bersepadu,'' jelasnya pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara teras tersebut adalah untuk menukar hala tuju pembekalan kepada permintaan, penggunaan kepada produksi dan menambah pengetahuan rendah kepada yang tinggi.

Secara asasnya, terdapat lapan projek yang dikenalpasti akan dilaksana bermula tahun ini termasuk Hab e-Fulfilment Asia, perkhidmatan e-Payment bagi perniagaan kecil dan sederhana (IKS), perusahaan perkongsian awan, sumber mikro, e-Dagang, pembelajaran dalam talian dan Mobile Digital Wallet.

Dari sudut produktiviti, Digital Malaysia dijangka menyumbang sebanyak satu peratus kepada anggaran pertumbuhan keseluruhan IKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2020.

Bagi impak standard taraf hidup pula, program itu mampu menyumbang pendapatan sebanyak RM7,000 setiap tahun kepada 350,000 rakyat melalui perolehan digital.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali menyifatkan Digital Malaysia mampu membantu usahawan digital alaf baru memacu penggunaan automasi dan teknologi dalam meningkatkan produktiviti bisnes mereka.

''Hari ini, Malaysia menikmati asas ICT yang kukuh namun inisiatif digital menyeluruh masih perlu diambil bagi memastikan negara mampu bergerak maju ke hadapan.

''Melalui Digital Malaysia, ia akan menggalakkan inovasi di kalangan syarikat-syarikat domestik untuk diperluas ke peringkat global,'' jelasnya.

Di samping itu, anggaran pelaburan sebanyak RM31.2 bilion akan dapat dijana daripada Digital Malaysia selain menyediakan sebanyak 160,000 peluang pekerjaan.

Sebagai kemuncaknya, program Digital Malaysia berhasrat mampu meningkatkan sumbangan GNI sebanyak 17 peratus (RM294 billion) dan mendaki kedudukan 20 teratas dalam Economist Intelligence Unit Digital Economy Rankings.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20121022/me_03/Digital-Malaysia#ixzz2CV7DefpR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday 15 February 2012

iPad 3 akan dilancar 7 Mac?


Khabar-khabar angin di Internet mengatakan Apple akan melancarkan iPad 3 pada 7 Mac nanti.
Hari tersebut adalah jatuh pada hari Rabu, iaitu hari yang sama Apple memperkenalkan iPad 2 pada tahun 2011, malah Apple juga melancarkan iPad pertamanya pada hari Rabu 27 Januari 2010.

Tarikh itu juga kena dengan ura-ura yang mengatakan Apple akan lancarkan tablet baru itu pada minggu pertama bulan Mac.

Pelancaran kedua-dua versi iPad sebelum ini dilakukan oleh mendiang Steve Jobs yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple pada ketika itu. Beliau meninggal dunia tahun lalu pada umur 56 tahun setelah lama bertarung nyawa dengan penyakit kanser pankreas yang dihidapinnya.

Jika Apple meneruskan tradisinya, maka CEO baru Apple, Tim Cook yang akan naik ke pentas pada tahun ini.

Bagaimanapun tidak ada siapa tahu tarikh sebenar pelancaran sehinggalah Apple menghantarkan jemputan kepada media, blogger dan firma penyelidikan.

Apple selalunya simpan rapi rahsia tentang tarikh pelancaran dan hanya mengumumkannya seminggu sebelum majlis sebenar. Jika mengandaikan 7 Mac adalah tarikh yang betul, Apple mungkin akan mengeluarkan jemputan berkenaan pada 29 Februari ataupun sekitar dua minggu dari sekarang.

Kebanyakan pakar percaya iPad 3 akan didatangkan dengan ciri-ciri skrin resolusi tinggi (Retina) dan pemproses yang lebih laju (mungkin pemproses quad-core pertama Apple), serta juga penambahan memori dalaman. Tablet itu juga mungkin akan dipasarkan dengan harga bermula dari US$499 (RM1,515) dan ke atas.

Mengikut ramalan oleh penganalis Wall Street, iPad 3 dijangka akan melonjakkan jualan tablet Apple kepada 11.3 juta untuk suku pertama, iaitu sehingga 140% daripada 4.7 juta unit yang syarikat itu jual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

- PuTeRA.com

Monday 6 February 2012

FBI cari aplikasi intip pengguna media sosial


Federal Bureau of Investigation (FBI) Amerika Syarikat kini sedang mencari aplikasi pemantauan media sosial yang hendak digunakan bagi melindungi privasi para individu dan kumpulan yang dilindungi sebelum ia digunakan.

Pusat Maklumat dan Operasi Strategik FBI beberapa minggu lepas telah membuat iklan menerusi laman web FedBizOpps.gov (yang mirip ePerolehan di Malaysia) untuk mencari pihak-pihak atau syarikat yang mampu membangunkan aplikasi untuk menghidu sebarang ancaman yang wujud di seluruh dunia merentasi laman media dan rangkaian sosial.

Walaupun ia tidak dinyatakan, namun iklan itu menimbulkan spekulasi bahawa kerajaan AS ingin menggunakan kuasanya untuk mengintip para pengguna Facebook, Twitter dan media-media sosial popular yang lain yang disering dikunjungi oleh berjuta-juta manusia dari seluruh dunia.

Jurucakap FBI bagaimanapun memberitahu PCMag.com bahawa jika aplikasi itu dibangunkan dan digunakan oleh FBI, Unit Privasi dan Kebebasan Awam agensi itu akan memastikan mereka memenuhi semua keperluan privasi sebelum aplikasi itu dilaksanakan.

"Niat sebenar ialah untuk melihat data sosial yang tidak sulit dan terbuka kepada umum, yang sedia ada boleh akses di lapangan terbuka Internet. Aplikasi itu tidak akan fokus kepada individu atau kumpulan tertentu, tetapi kepada perkataan-perkataan yang berkaitan kepada 'kejadian' atau 'krisis', serta aktiviti yang melibatkan pelanggaran undang-undang jenayah persekutuan atau ancaman kepada keselamatan negara. Contohnya perkataan 'lockdown', 'bomb',  'suspicious package', 'white powder', 'active shoot', 'school lock down' dan lain-lain sejenisnya," kata Ejen Khas Ann Todd dari pejabat Perhubungan Awam FBI.

Todd juga menjelaskan paparan iklan dalam FedBizOpps.gov pada 19 Januari hanyalah bersifat request for information (RFI) sahaja. FBI "ingin menilai keupayaan industri IT untuk menyediakan sebuah aplikasi sumber terbuka dan media sosial" dan RFI itu diiklankan untuk tujuan penyelidikan pasaran dan perancangan sahaja dan tidak bermaksud untuk mendapatkan proposal. Tiada sebarang hantaran RFI yang akan diterima sebagai tawaran rasmi kontrak, katanya. Tinjauan ke laman web FedBizOpps.gov mendapati iklan itu telah dikemaskini pada 1 Feb 2012.

Dari satu perspektif, pembangunan aplikasi seperti itu bukanlah mustahil. Mungkin kerajaan Malaysia juga patut ada aplikasi seperti itu untuk memantau rakyat negara ini terutama yang terlalu celupar tangannya dan menulis pelbagai fitnah sana-sini dalam blog, Facebook, twitter dan lain-lain tanpa mengira perasaan orang lain dan keharmonian dalam masyarakat. Atau setidaknya boleh juga diguna untuk tengok siapa sokong atau bangkang kerajaan (lebih-lebih lagi pilihan raya sudah semakin hampir).

Jika difikirkan, untuk blog dan twitter selalunya semua orang boleh tengok dan baca, tetapi bagi Facebook selalunya sesuatu posting hanya dikongsi di kalangan rakan-rakan sahaja, jadi mungkin aplikasi itu perlu wujudkan profail-profail ciptaan untuk jadi pengintip pula! Hmmm...

- PUTERA.com

Sunday 15 January 2012

Konsep Maya Diperkenalkan Di Sekolah Dua Tahun Lagi


IBU bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak mereka menerusi konsep maya yang akan diperkenalkan Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah dalam dua tahun lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata konsep itu, yang akan dilaksanakan sebagai projek perintis di beberapa sekolah mulai tahun depan, antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video.

Projek perintis itu akan dikenali sebagai "Virtual Learning" atau Pembelajaran Maya, katanya dan menurutnya konsep itu dicontohi daripada konsep yang diamalkan di negara maju seperti Korea Selatan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ibu bapa boleh mengetahui maklumat lanjut mengenai prestasi pelajaran anak mereka dengan berhubung terus dengan guru-guru menerusi Internet.
"Berdasarkan maklumat ini, ibu bapa boleh terus mendapatkan nasihat guru berdasarkan capaian prestasi pelajar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam lawatannya ke Korea Selatan pada Julai tahun lepas, Muhyiddin turut meninjau sistem pendidikan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi negara itu, National Education Information System (NEIS), yang membangunkan jaringan komputer untuk menghubungkan semua sekolah.
Jaringan itu membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak-anak di sekolah serta berhubungan dengan guru menerusi internet.
Terdahulu, dalam ucapannya kepada guru dan ibu bapa di sekolah itu, Muhyiddin berkata ibu bapa perlu melibatkan diri dalam sistem sekolah anak-anak mereka kerana sudah dibuktikan di dalam negara ini, penglibatan ibu bapa banyak membantu pelajar dan sekolah itu sendiri berjaya.
"Di banyak negara yang dilawati, yang saya temui menyambut saya dahulu bukanlah guru tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya, ibu bapa ini memberitahu "kami datang ke sini untuk membantu sekolah kami kerana anak-anak kami belajar di sekolah ini," katanya.
Beliau menekankan bahawa tidak ada yang paling utama selain pelajaran buat anak-anak kerana sejarah negara ini sudah membuktikan bahawa pelajaran mampu mengubah nasib seseorang atau bangsa.
"Semasa (sebelum) merdeka, 70 peratus rakyat miskin kerana kita dijajah... walaupun ada sekolah tetapi tidak ada bantuan dari penjajah. Selepas merdeka, penyelesaian kepada soal kemiskinan itu ialah ilmu, dasar pelajaran negara kita ialah untuk membantu rakyat keluar dari kemiskinan itu dan hari ini peratusan itu telah menurun," katanya.
Muhyiddin berkata di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak bidang sudah dikuasai oleh anak-anak Malaysia hasil daripada pendidikan berkualiti.
Beliau turut menasihati pengurusan sekolah dan ibu bapa supaya turut mengutamakan aktiviti kokurikulum dan sukan.
"Ada sekolah yang tidak kisahkan keadaan padang, tidak kisah jika sekolah itu tiada gelanggang sukan kerana mereka terlalu mementingkan pencapaian pelajaran. Ada ibu bapa pula, ada yang menganggap aktiviti kurikulum menganggu kelas tuisyen anak-anak.
"Sikap ini merupakan satu kesilapan kerana sukan membantu membentuk sahsiah pelajar seperti sifat hormat dan bertanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More