Showing posts with label sekolah. Show all posts
Showing posts with label sekolah. Show all posts

Sunday 15 January 2012

Konsep Maya Diperkenalkan Di Sekolah Dua Tahun Lagi


IBU bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak mereka menerusi konsep maya yang akan diperkenalkan Kementerian Pelajaran di sekolah-sekolah dalam dua tahun lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata konsep itu, yang akan dilaksanakan sebagai projek perintis di beberapa sekolah mulai tahun depan, antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video.

Projek perintis itu akan dikenali sebagai "Virtual Learning" atau Pembelajaran Maya, katanya dan menurutnya konsep itu dicontohi daripada konsep yang diamalkan di negara maju seperti Korea Selatan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ibu bapa boleh mengetahui maklumat lanjut mengenai prestasi pelajaran anak mereka dengan berhubung terus dengan guru-guru menerusi Internet.
"Berdasarkan maklumat ini, ibu bapa boleh terus mendapatkan nasihat guru berdasarkan capaian prestasi pelajar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam lawatannya ke Korea Selatan pada Julai tahun lepas, Muhyiddin turut meninjau sistem pendidikan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi negara itu, National Education Information System (NEIS), yang membangunkan jaringan komputer untuk menghubungkan semua sekolah.
Jaringan itu membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak-anak di sekolah serta berhubungan dengan guru menerusi internet.
Terdahulu, dalam ucapannya kepada guru dan ibu bapa di sekolah itu, Muhyiddin berkata ibu bapa perlu melibatkan diri dalam sistem sekolah anak-anak mereka kerana sudah dibuktikan di dalam negara ini, penglibatan ibu bapa banyak membantu pelajar dan sekolah itu sendiri berjaya.
"Di banyak negara yang dilawati, yang saya temui menyambut saya dahulu bukanlah guru tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya, ibu bapa ini memberitahu "kami datang ke sini untuk membantu sekolah kami kerana anak-anak kami belajar di sekolah ini," katanya.
Beliau menekankan bahawa tidak ada yang paling utama selain pelajaran buat anak-anak kerana sejarah negara ini sudah membuktikan bahawa pelajaran mampu mengubah nasib seseorang atau bangsa.
"Semasa (sebelum) merdeka, 70 peratus rakyat miskin kerana kita dijajah... walaupun ada sekolah tetapi tidak ada bantuan dari penjajah. Selepas merdeka, penyelesaian kepada soal kemiskinan itu ialah ilmu, dasar pelajaran negara kita ialah untuk membantu rakyat keluar dari kemiskinan itu dan hari ini peratusan itu telah menurun," katanya.
Muhyiddin berkata di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), banyak bidang sudah dikuasai oleh anak-anak Malaysia hasil daripada pendidikan berkualiti.
Beliau turut menasihati pengurusan sekolah dan ibu bapa supaya turut mengutamakan aktiviti kokurikulum dan sukan.
"Ada sekolah yang tidak kisahkan keadaan padang, tidak kisah jika sekolah itu tiada gelanggang sukan kerana mereka terlalu mementingkan pencapaian pelajaran. Ada ibu bapa pula, ada yang menganggap aktiviti kurikulum menganggu kelas tuisyen anak-anak.
"Sikap ini merupakan satu kesilapan kerana sukan membantu membentuk sahsiah pelajar seperti sifat hormat dan bertanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA

Thursday 3 November 2011

Guru menang Anugerah Apicta Terbaik Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kaedah e-Pembelajaran menerusi blog bagi mendidik anak Orang Asli melayakkan seorang guru dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik MSC Malaysia (Apicta) Terbaik Perdana Menteri, tahun ini.

Penerimanya, Muhamad Hafiz Ismail, 25, merupakan seorang guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, Sungai Siput (Utara), Perak berjaya mengetepikan kira-kira 250 calon lain dalam kategori yang sama.

Anak kelahiran Kedah itu memenangi anugerah tersebut dengan blog www.apistakkisah.blogspot.com yang bertajuk Life Through My Eyes: A teacher's little steps towards perfection dengan menceritakan pengalaman tahun pertamanya di sekolah berkenaan.

"Saya ingin berkongsi pengalaman suka-duka bersama rakan yang lain dalam dunia pendidikan mengenai kaedah yang digunakan oleh saya untuk mendidik murid terutama anak Orang Asli supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.

"Blog ini juga merupakan satu bentuk jaringan untuk guru meluahkan dan berkongsi apa sahaja mengenai pengalaman mereka memandangkan di negara ini agak jarang adanya jaringan bagi menghubungkan warga pendidik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Muhamad Hafiz, kandungan dalam blognya itu turut telah dibukukan oleh penerbit Universiti USCI dan MPH.

Bagi Anugerah Projek Pelajar kategori Menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Foon Yew, Kulai, Johor manakala kategori Rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Dua Sungai, Mukah, Sarawak.

Sementara itu, Idottv Sendirian Berhad pula memenangi merit bagi Anugerah Teknologi Hijau Terbaik dengan memperkenalkan produk bil 'hijau' yang akan memasuki pasaran pada akhir tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrin Mohd. Noor berkata, fokus produk itu adalah bagi mengurangkan penggunaan kertas ke atas bil telefon bimbit oleh syarikat telekomunikasi.

"Dengan adanya bil hijau ini, pengguna boleh menyemak penggunaan alat komunikasi menerusi telefon atau online bagi mengurangkan pergantungan dan penggunaan kertas yang berlebihan.

"Kajian juga menunjukkan setiap tahun penggunaan kertas bil telefon mampu membentuk 222 Menara Berkembar Petronas (KLCC) dengan anggaran 10 juta pengguna," ujarnya.

Kesemua pemenang berjaya membawa pulang sebuah trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili yang turut dihadiri Pengerusi Multimedia Davelopment Corporation, Tan Sri Halim Ali.


View the original article here

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More