Showing posts with label ipad. Show all posts
Showing posts with label ipad. Show all posts

Wednesday 15 February 2012

iPad 3 akan dilancar 7 Mac?


Khabar-khabar angin di Internet mengatakan Apple akan melancarkan iPad 3 pada 7 Mac nanti.
Hari tersebut adalah jatuh pada hari Rabu, iaitu hari yang sama Apple memperkenalkan iPad 2 pada tahun 2011, malah Apple juga melancarkan iPad pertamanya pada hari Rabu 27 Januari 2010.

Tarikh itu juga kena dengan ura-ura yang mengatakan Apple akan lancarkan tablet baru itu pada minggu pertama bulan Mac.

Pelancaran kedua-dua versi iPad sebelum ini dilakukan oleh mendiang Steve Jobs yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple pada ketika itu. Beliau meninggal dunia tahun lalu pada umur 56 tahun setelah lama bertarung nyawa dengan penyakit kanser pankreas yang dihidapinnya.

Jika Apple meneruskan tradisinya, maka CEO baru Apple, Tim Cook yang akan naik ke pentas pada tahun ini.

Bagaimanapun tidak ada siapa tahu tarikh sebenar pelancaran sehinggalah Apple menghantarkan jemputan kepada media, blogger dan firma penyelidikan.

Apple selalunya simpan rapi rahsia tentang tarikh pelancaran dan hanya mengumumkannya seminggu sebelum majlis sebenar. Jika mengandaikan 7 Mac adalah tarikh yang betul, Apple mungkin akan mengeluarkan jemputan berkenaan pada 29 Februari ataupun sekitar dua minggu dari sekarang.

Kebanyakan pakar percaya iPad 3 akan didatangkan dengan ciri-ciri skrin resolusi tinggi (Retina) dan pemproses yang lebih laju (mungkin pemproses quad-core pertama Apple), serta juga penambahan memori dalaman. Tablet itu juga mungkin akan dipasarkan dengan harga bermula dari US$499 (RM1,515) dan ke atas.

Mengikut ramalan oleh penganalis Wall Street, iPad 3 dijangka akan melonjakkan jualan tablet Apple kepada 11.3 juta untuk suku pertama, iaitu sehingga 140% daripada 4.7 juta unit yang syarikat itu jual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

- PuTeRA.com

Wednesday 1 February 2012

Penguasaan iPad turun kepada 58%

Penguasaan pasaran iPad dilihat jatuh kepada 57.6% pada suku ke-4 2011 jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala Android meningkat kepada 39.1%.

Bagaimanapun Ketua Eksekutif Apple Inc, Tim Cook tidak risau dengan angka itu kerana pasaran tablet sememangnya sedang berkembang pesat dan data juga menunjukkan jumlah unit yang terjual meningkat daripada 7.3 juta kepada 15.4 juta dalam tempoh yang sama.

Namun iPad masih mendahului pasaran tablet ini walaupun jumlah unit Android yang terjual meningkat mendadak daripada 3.1 juta kepada 10.5 juta pada suku tersebut. Sementara Microsoft pula masih jauh ketinggalan dengan penguasaan pasaran setakat 1.5% sahaja, dengan jualan sebanyak 0.5 juta unit.

Hasil penyelidikan terbaru oleh firma Strategy Analytics itu mendapati kenaikan tiga kali ganda pasaran Android dibantu oleh tablet keluaran Samsung dan Amazon.

Android membuktikan ia mampu popular di kalangan pengilang tablet walaupun terdapat kebimbangan dan ketidaktentuan pada variasi sistem operasi Android, antaramuka dan ekosistem kedai aplikasi (app store).

Laporan itu juga menyatakan bahawa penghantaran tablet global meningkat kepada 66.9 juta unit pada tahun 2011, hampir empat kali ganda berbanding 18.6 juta yang dihantar pada tahun 2010. "Penghantaran" itu mewakili jumlah yang dijual oleh pengilang kepada peruncit dan tidak semestinya menggambarkan jumlah jualan runcit kepada pengguna.

- PUTERA.com

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More