Thursday, 5 January 2012

Motorola perkenal telefon pintar RAZR



MOTOROLA tidak mahu ketinggalan merancakkan dunia telefon bimbit pintar menerusi model terbaru mereka RAZR.
SELEPAS lama menyepi, syarikat teknologi Motorola Mobiliti Inc. tampil memperkenalkan produk telefon bimbit pintar terbaru mereka, Motorola RAZR dengan tawaran fungsi lebih eksklusif dan dinamik.
Masih kekal bersama platform RAZR, model itu dilihat bakal menyaingi pelbagai jenama peranti telekomunikasi moden yang banyak terdapat di pasaran.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Jualan, Motorola Mobiliti Asia Selatan, Robert van Tilburg, pengenalan gajet itu merupakan lanjutan daripada kecemerlangan model RAZR sebelum ini.
''Selepas mencatat jualan terbaik untuk model terdahulu, kini Motorola RAZR kembali dengan reka bentuk lebih bergaya dan berkuasa.
''Mereka yang mahu mencabar diri menikmati pengalaman telekomunikasi terbaik pasti tidak akan melepaskan peluang untuk memiliki model ini,'' katanya.
Motorola RAZR hadir bersama reka bentuk unik yang sangat ringan dan nipis iaitu hanya 7.1 milimeter (mm).
Lengkungan luarnya diperbuat daripada potongan aluminium berlian yang dibangunkan bersama material keluli tahan karat dan fiber KEVLAR.
Tidak cukup dengan itu, peranti kawalan sentuh penuh itu turut mengaplikasi teknologi skrin AMOLED termaju bersaiz 4.3 inci dengan kualiti kukuh tahan calar Corning Gorilla.
Menerusi fungsi antara muka yang lebih intuitif, Motorola RAZR membenarkan pelbagai aplikasi diaktifkan secara serentak pada satu-satu masa.
Bagi spesifikasi teknikalnya pula, model tersebut dipacu oleh pemproses dua teras 1.2GHz dan RAM DDR2 1GB dengan sokongan sistem operasi terpantas iaitu Android 2.3.5.
Lebih menarik lagi, ia tersedia bersama aplikasi Motorola MotoCast untuk akses kepada komputer peribadi secara terus daripada telefon bimbit bagi membolehkan pengguna mencari serta memuat turun fail atau media kegemaran mereka.
Fungsi kameranya juga tidak menghampakan kerana dilengkapi resolusi lapan megapiksel dan boleh merakam video definisi tinggi (HD) 1080p.
Dengan segala kelebihan itu, Motorola RAZR telah pun memasuki pasaran Malaysia dengan tawaran harga RM1,999.

View the original article here

Penulis Tamu

Anda dijemput untuk menjadi Penulis Tamu di PUTERA.com! Dapatkan maklumat lanjut di sini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More